Terbaharu, kerajaan negeri menyerahkan cek sejumlah RM252,500 kepada 28 rumah ibadat Cina, Hindu dan gereja bagi melaksanakan proses naik taraf dan kebajikan persatuan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan hadir bagi menyerahkan cek berkenaan.
Menurut Ronnie, setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan dana kepada 200 buah rumah ibadat selain Islam dengan peruntukan sejumlah RM6 juta menerusi Belanjawan Negeri Selangor yang diumumkan Menteri Besar.
“Banyak rumah ibadat yang memerlukan dana kerana kebanyakan tokong, kuil dan gereja sudah uzur. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengiktiraf rumah-rumah ibadat yan terletak di kawasan rumah teres kerana ia mengganggu jiran tetangga.
“Tetapi kerajaan negeri faham tentang situasi ini kerana semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu, pertubuhan rumah-rumah ibadat sukar untuk mendapat tanah daripada kerajaan.
“Oleh itu, mereka terpaksa menggunakan rumah teres sebagai tempat ibadat. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menggalakkannya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran,” jelas Ronnie kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek-cek Rumah Ibadat Selain Islam di SUK hari ini.
Hadir sama Adun Kajang, Lee Kim Sin.
Tambah Ronnie, kerajaan Selangor sentiasa memberi ruang dan peluang kepada persatuan rumah ibadat selain Islam ini untuk memohon geran tanah bagi membolehkan mereka beroperasi dengan lebih teratur dan tidak mengganggu kawasan perumahan.
Jelasnya lagi, rumah ibadat yang dibina sebelum Mac 2008 tidak diganggu atau dirobohkan, sebaliknya kerajaan negeri akan memberi masa kepada mereka untuk berpindah ke suatu kawasan yang lebih selesa.
“Mana-mana rumah ibadat yang ingin mendapatkan dana daripada kerajaan negeri perlulah berdaftar di bawah agensi yang sah, mempunyai lesen serta memiliki persatuan yang teratur dengan bilangan ahli yang mencukupi. Rumah ibadat yang tidak berdaftar dan bergerak sebagai individu tidak layak menerima bantuan,” jelasnya.
Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pucuk pimpinan di Selangor pada Mac 2008, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memperuntukkan dana kepada setiap rumah ibadat termasuk rumah ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Negeri Selangor.
Ia adalah sebahagian daripada pembaharuan yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan nasib rakyat yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan Umno-BN sebelum ini.