Categories
SELANGOR

Hotel Bajet Jadi Tumpuan Maksiat Sambut Tahun Baru

SHAH ALAM, 5 JAN: Hotel bajet dan beberapa pusat hiburan di sekitar Selangor menjadi tumpuan utama dalam Operasi Khas Anti Zina Sempena Sambutan Tahun Baru 2012.

Operasi yang diketuai oleh Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali bersama Bahagian penguatkuasa Jais dan Pihak Berkuasa tempatan serta polis.

Datuk Hassan dalam sidang medianya memaklumkan, operasi melibatkan semua 9 daerah di Selangor dengan Operasi Cegah Arak di pusat hiburan manakala hotel bajet untuk Operasi Khalwat dan Zina yang bermula selepas jam 12.00 pagi dan tamat sekitar jam 5.00 pagi.

“Dalam operasi yang dibuat, adalah jelas bahawa hotel-hotel bajet telah dijadikan tempat melakukan maksiat paling popular dikalangan mereka yang terlibat. Untuk semua daerah, kerjasama pemilik dan kakitagan hotel yang terlibat bolehlah dikatakan memuaskan walaupun pada peringkat awalnya terdapat percubaan untuk melindungi penginap-penginap hotel tersebut,” katanya.

Seramai 18 orang ditahan yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan 6 orang perempuan dalam operasi cegah arak yang dilakukan di dua pusat hiburan yang terletak di Damansara dan Petaling Jaya pada malam 30 Disember 2011.

“Melalui ujian yang dibuat, mereka yang boleh disabitkan kesalahan meminum arak akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah sementara 69 orang lagi yang memerlukan khidmat kaunseling, mereka akan diminta memberi keterangan dan menjalani sesi kaunseling pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, operasi mencegah khalwat dan zina dibuat pada awal pagi tahun baru 2012, seramai 234 orang telah ditahan.

Mereka terdiri daripada 119 pasangan melibatkan 127 lelaki dan 107 Wanita.

Daerah Gombak mencatatkan jumlah yang ditahan paling tinggi dengan 74 orang (37 pasangan), Klang 28 orang (14 pasangan), Hulu Selangor 27 orang (13 Pasangan) dan Hulu Langat 20 orang (10 pasangan). Mereka yang ditahan berada dalam lingkungan umur 16 tahun hingga ke 50 tahun.

“Sebagai pihak bertanggungjawab, saya akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan oeprasi yang telah dilakukan. Saya juga akan mengemukakan beberapa cadangan hasil daripada perbincangan yang bakal diadakan kepada pihak berkuasa supaya masalah jenayah Syariah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Mereka yang terlibat akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada 12 dan 13 Januari sementara tarikh untuk mereka hadir ke sesi kaunseling akan dimaklumkan kemudian.

Kedua-dua operasi ini dilakukan sebagai langkah menguatkuasakan Seksyen 18 (Minuman Yang Memabukkan) dan Seksyen 29 (Khalwat) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Leave a Reply

Your email address will not be published.