SHAH ALAM, 3 JAN: Tindakan meletakkan kepala babi di di dua lokasi kawasan Masjid Al-Falah Taman Desa Jaya, Johor Bharu merupakan satu provokasi pihak yang muflis idea dan hanya ingin mencetuskan suasana tegang antara agama di Malaysia.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya berkata, perkara penguatkuasaan undang-undang pencegahan yang serius perlu dilakukan memandangkan provokasi bersifat agama dan bangsa yang cetuskan oleh golongan-golongan tertentu boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam negara.
Mengulas lanjut katanya, seandainya mereka benar-benar terlibat, pendakwaan dan hukuman mesti dilaksanakan supaya perkara ini dapat dicegahkan dan tidak berulang semula di negara kita.
“Sekarang ini rakyat sedang memerhati apa tindakan seterusnya sebab banyak tangkapan yang dibuat, pendakwaan tidak dijalankan. Jadi dilihat seolah mengaburi mata orang ramai. Penglibatan remaja tidak mustahil mereka mungkin dibayar atau diupah oleh pihak tertentu. Yang penting adalah tindakan tegas. Kalau mereka benar-benar terlibat, tindakan perlu diambil,” tegas beliau.
Minggu lalu, Masjid Al-Falah digemparkan dengan penemuan empat kepada babi di pagar belakang masjid manakala selebihnya ditemui di perkarangan luar pintu masuk masjid keesokkan harinya oleh jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.
Sebelum ini kejadian sama berlaku di Selangor yang didalangi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau menambah, provokasi agama ini mudah menimbulkan kemarahan rakyat dan sering berlaku saban tahun lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum. Apa yang diharapkan adalah masyarakat melihat perkara ini dari sudut yang matang selain menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.
Beliau percaya sokongan terhadap Pas dan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan beliau percaya rakyat tidak akan terpedaya dengan provokasi sebegini.