Categories
SELANGOR

Kaedah Efisyen Tangani Sampah di Selangor

SHAH ALAM, 19 JAN : Negeri Selangor terus komited dan telus dalam usaha menguruskan sisa pepejal dengan menggunakan teknologi yang lebih efisyen bahkan berupaya menjimatkan kos penyelenggaraan.

Ia terbukti menerusi pembinaan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Shah Alam bagi tujuan pengumpulan sisa pepejal sebelum dihantar ke tapak pelupusan akhir sampah.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, stesen pemindahan ini akan bertindak sebagai pusat transit untuk sisa pepejal sebelum dilupuskan di tapak pelupusan yang terletak di Jeram, Kuala Selangor.

Menurut Ronnie, stesen pemindahan itu dilihat lebih efektif malah lebih menguntungkan kerana sisa pepejal dari lori kutipan akan dikumpulkan dan dimampatkan terlebih dahulu sebelum dipindahkan kepada jentera yang lebih besar muatannya untuk dihantar ke tapak pelupusan akhir.

“Keunikan stesen pemindahan ini adalah ia dapat mengurangkan perjalanan “compactor” ke tempat pelupusan sampah. Sebelum wujudnya stesen ini, semua “compactor” di Shah Alam hanya dapat menjalankan kira-kira 1.5 perjalan sehari ke tapak pelupusan sampah.

Ia amat efisyen di mana lori kutipan boleh menambah jumlah penghantaran sisa pepejal ke tapak pelulusan akhir kira-kira 3 kali sehari. Prosesnya amat mudah dan berkesan,”ujarnya.

Beliau berkata, stesen pemindahan itu setakat ini dilaksanakan di Shah Alam di bawah pengawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan akan diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain seperti Subang Jaya dan Petaling Jaya dalam masa terdekat.
Jelasnya lagi, stesen pemindahan yang dibina khusus untuk pengurusan sisa pepejal ini bersifat lebih murah malah menjimatkan masa untuk kutipan sampah.
Tambahnya, ia juga akan mengurangkan lalu lintas lori sisa pepejal di tapak pelupusan, mengurangkan perkhidmatan lori “standy” selain turut menjimatkan kos penyelenggaraan lori kutipan.

“Sekiranya kerajaan negeri boleh mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat, kita ingin membina satu lagi stesen pemindahan sisa pepejal di kawasan lain seperti Ampang atau Selayang kerana kedua-dua kawasan ini menyukarkan lori kutipan untuk menghantar sisa pepejal ke tapak pelupusan memandangkan tempat itu agak jauh,” katanya.

Ronnie berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Seksyen 21 di sini petang tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Stesen pemindahan tersebut telah siap dibina oleh WorlWide Holdings Berhad pada 2008 dengan menelan kos sebanyak RM77 juta dan telah beroperasi pada 10 Januari lalu.

Menerusi sistem ini, sisa pepejal akan dipindahkan secara terus ke dalam “silo” yang bersifat kedap air dan boleh membawa 22 peratus lebih sisa pepejal iaitu kira-kira 20 tan sehari.

Dalam sidang media sama, Ronnie turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kontraktor yang dilantik oleh setiap PBT tidak menjalankan kutipan sampah dengan konsisten sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penduduk.

Jelasnya, setiap kontraktor yang dilantik menjalankan kerja kutipan sampah secara teratur iaitu tiga kali seminggu di setiap kawasan perumahan, empat kali seminggu di kawasan komersial dan setiap hari di kawasan pangsapuri kos rendah.

Beliau berkata, penduduk perlu memberi peluang kepada PBT dan kontraktor yang dilantik untuk membaiki perkhidmatan mereka supaya operasi kutipan sampah dapat berjalan lancar dan tidak lagi menimbulkan sebarang masalah.

“Pada permulaan, memang nampak sedikit kecoh tetapi penduduk perlu beri kita sedikit masa untuk memperbaiki perkhidmatan kontraktor kerana mereka masih baru dan belum mahir dengan kawasan itu untuk urusan kutipan sampah.

Tetapi kita ada beberapa cara untuk menangani masalah ini iaitu penduduk boleh menghubungi talian hotline yang disediakan di setiap PBT dan kerajaan negeri sendiri untuk membuat sebarang aduan sebelum boleh diambil tindakan,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.