Categories
SELANGOR

Khalid Samad : Menteri Besar Layak Sandang Portfolio Agama

SHAH ALAM, 20 JAN : Pas Selangor faham dan akur mengapa portfolio Hal Ehwal Agama Islam digalas oleh Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim dan bukannya diberi kepada exco baru Dr Ahmad Yunus Hairi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Khalid Samad juga berkata portfolio itu tidak semestinya secara automatik disandang oleh pemimpin daripada parti Islam itu.

Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata keputusan yang diambil oleh Menteri Besar amat tepat dan relevan pada suasana menjelang pilihanraya umum.

“Dengan mengambil kira lebih kurang tiga atau empat bulan untuk menghadapi pilihanraya seterusnya, maka keputusan Menteri Besar untuk beliau sendiri memegang portfolio Hal Ehwal Islam itu relevan kerana sebarang perlantikan baru dijangkakan sukar dan menjejaskan perlaksanaan program yang dirancang sebelum ini,” ulas Khalid ketika dihubungi.

Beliau turut memberitahu, exco Hal Ehwal Islam bukan sahaja menghadapai cabaran melaksanakan tugas berkaitan pentadbiran tetapi perlu berhadapan dengan mainan politik Umno melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Sedangkan mantan exco sebelum ini pun tidak mampu untuk menangani permainan Umno melalui kedua-dua badan agama ini.

“Jadi, Pas berpendapat lebih baik Tan Sri Khalid duduk di situ kerana percaya beliau lebih berpengalaman dan bijak menangani sebarang isu berkaitan,” Khalid berkata.

Menurut Khalid lagi, portfolio hal-ehwal Islam merangkumi berbagai aspek pentadbiran.

“Jadi kepercayaan bahawa semestinya Pas menguasai kerangka jabatan agama Islam ini harus diperbetulkan kerana Islam itu wujud dan relevan dalam mana-mana cabang sekalipun sama ada pihak berkuasa tempatan, hal pendidikan, jabatan kerja raya atau lain-lain,” ujar Khalid.

Ketika diminta mengulas tentang tindakan segelintir ahli Pas yang menentang keputusan Menteri Besar itu, Khalid dengan tenang mengatakan bahawa pandangan mereka itu tidak melambangkan pendirian pucuk pimpinan Pas keseluruhannya.

Beliau berkata satu mesyuarat peringkat negeri akan diadakan pada Selasa ini untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.