Letupan 901: Polis Perlu Kemuka Siasatan

SHAH ALAM, 18 JAN: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) diminta mengemukakan hasil siasatan berhubung kejadian letupan bom yang berlaku pada hari pengumuman keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (901) pada 9 Januari lalu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkata, kecurigaan itu timbul kerana sehingga hari ini polis langsung tidak menyatakan apa-apa dan sedangkan kejadian tersebut merupakan satu isu besar.

“Antara bom tersebut diletakkan dibawah kon polis sedangkan polis sudah menutup kawasan tersebut. Siapa yang nak masuk polis akan monitor dan semua dibenarkan masuk selepas jam 6 pagi. Dan apabila bom itu meletup setentunya timbul kecuigaan. Pihak polis perlu tampil memberikan penjelasan terperinci,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pihak Perkasa Yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali juga perlu tampil memberikan penjelasan berhubung tugas dan gerak kerja yang dilakukan oleh Unit Tindakan Khas (UTK) yang mereka tubuhkan untuk perhimpunan tersebut.

“Kedua adalah apabila Perkasa melalui Presidennya, Ibrahim Ali mengumumkan mereka telah menubuhkan Unit Tindakan Khas (UTK) pada hari tersebut dan ia perlukan penjelasan, apa tugas UTK yang Ibrahim Ali tubuhkan.

“Saya masih hormat kepada Perkasa yang boleh mobilise ahlinya. Takkan hari itu (9 Jan) UTK yang dinamakan Ibrahim Ali hanya 30 orang berbaju kuning akhirnya lari dan minta perlindungan daripada polis pada hari perhimpunan tersebut. Sudah tentu Ibrahim Ali juga harus tampil memberikan penjelasan dalam isu ini,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, lima orang tercedera akibat terkena serpihan letupan selain mengakibatkan kerosakan beberapa buah kenderaan yang diletakkan berhampiran kawasan kejadian.

Selain itu, Chegu Bard turut meminta pihak polis menyiasat pihak Utusan Malaysia yang mendakwa bahawa bom tersebut dibuat oleh peserta-peserta perhimpunan sedangkan tidak ada laporan siasatan lengkap daripada pihak polis.

“Tidak masuk akal, kita berhimpun dan kita nak letupkan diri kita sendiri. Saya melihat ini lebih kepada unsur sabotaj supaya selepas ini digunakan dalil tidak boleh berhimpun kerana apa, kerana akan ada bom meletup. Saya yakin itu akan digunakan sebagai dalil untuk menghalang perhimpunan-perhimpunan aman selepas ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan kegusaran memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara aman sedangkan sebelum ini tidak pernah ada sebarang kekecohan dan kejadian letupan sebegini. Jika dibiarkan ianya akan menjadi trend tidak sihat kepada negara.

“Justeru itu saya tidak pasti, tanggapan masyarakat melihat secara kemungkinan akan wujud penglibatan polis secara tidak sengaja atau tidak.” kata beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Sehubungan itu beliau meminta siasatan terperinci dilakukan sekiranya pihak polis ingin membersihkan nama baik institusi keselamatan tersebut.

Tegas beliau, mereka yang terlibat wajib didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Sekiranya pihak polis gagal mengemukakan hasil siasatan, polis tidak boleh menghalang tanggapan rakyat bahawa kejadian ini merupakan satu bentuk konspirasi dan sabotaj untuk menghalang perhimpunan aman di masa hadapan.” kata beliau ketika di hubungi TVSelangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.