Categories
SELANGOR

MBSA: Tunda Kenderaan Untuk Lancarkan Trafik

SHAH ALAM, 6 JAN : Ekoran sikap sesetengah pemilik kenderaan yang sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan di bahu jalan, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak menguatkuasakan pelaksanaan sistem penundaan kenderaan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pelaksanaan sistem penundaan ini bukan untuk menyulitkan pemilik-pemilik kenderaan, sebaliknya bagi mendidik pengguna jalanraya supaya lebih peka dan berhemah dengan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Menurutnya, pelaksanaan sistem tunda ini juga bagi memudahkan aliran trafik dan kelancaran kenderaan terutamanya di kawasan tumpuan ramai seperti Seksyen 14, kawasan Dataran Shah Alam, hadapan Wisma MBSA, Kompleks PKNS, Kompleks Alam Sentral, Seksyen 9 dan sebagainya.

“Di samping itu, sistem penundaan ini dilaksanakan berikutan daripada aduan orang ramai berhubung pemilik-pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan yang sekaligus membantutkan kelancaran lalu lintas khususnya di kawasan pusat bandar dan kawasan komersial,” katanya.

Jelas Shahrin, penundaan kenderaan ini dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-undang Kecil Taman, MBSA 2005 di mana kenderaan yang ditunda akan dibawa ke depoh simpanan MBSA yang terletak di Jalan 17/57, Seksyen 17, Shah Alam.

Beliau berkata, pihak MBSA juga akan membuat pemakluman kepada pihak polis untuk memaklumkan penundaan sesebuah kenderaan bagi mengelak berlakunya salah faham selain membantu pemilik kenderaan untuk mendapatkan keterangan dan maklumat sama ada kenderaan mereka hilang atau telah ditunda oleh Majlis.

“Pemilik kenderaan yang ditunda akan dikenakan bayaran penundaan kenderaan sebanyak RM270 dengan tambahan caj RM10 akan dikenakan pada setiap hari sekiranya kereta tersebut gagal dituntut,” ujarnya.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung penundaan kenderaan boleh menghubungi Unit Tunda MBSA di talian 03-55416879.

Leave a Reply

Your email address will not be published.