Categories
SELANGOR

MPSJ Raikan Ulang Tahun Dengan Rebat Cukai Dan Diskaun Kompaun

SUBANG JAYA, 31 JAN : Para pembayar cukai Subang Jaya bakal menikmati pelbagai diskaun dan rebet sempena ulang tahun yang ke-15 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) seperti rebet pembayaran cukai tafsiran.

“Ini bermula pada penggal kedua 2012 bermula daripada bulan Julai dan Ogos. Rebet sebanyak 5 peratus ini hanya diberikan kepada mereka yang melakukan pembayaran atas talian portal MPSJ yang dipanggil my@MPSJ.

“Kita menjangkakan bahawa seramai 40 peratus pembayar-pembayar cukai akan menggunakan portal berkenaan,” ujar Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi dalam mesyuarat penuh MPSJ pagi tadi.

Sambutan ulang tahun ke 15 MPSJ ini akan dilancarkan pada 11 Februari di Sunway Piramid dan bakal dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid IBrahim.

Selain itu, pembayar cukai yang menyelesaikan kompaun trafik dalam sebulan bermula 11 Februari sehingga 11 Mac akan menikmati diskaun ke atas bayaran mereka.

“Kita juga akan mengadakan pengurangan kompaun trafik, untuk tunggakan kompaun sahaja selama satu bulan dan minimum jumlah kompaun yang perlu dibayar oleh pesalah-pesalah adalah sebanyak RM20.

Bagi mempromosikan penggunaan mesin deposit, Asmawi berkata setiap pembayar cukai yang menggunakan khidmat itu layak menuntut anak pokok.

“Kita sudah menyediakan sebanyak 2,000 pokok buah-buahan kepada pembayar-pembayar yang menggunakan mesin deposit dan mereka boleh tuntut di bahagian lanskap dengan menunjukkan resit sebagai bukti pembayaran,” jelas Asmawi lagi.

Selain itu, MPSJ turut menyediakan hadiah-hadiah kepada pembayar cukai yang menjelaskan cukai pada penggal kedua dengan mengadakan cabutan bertuah. Antara hadiah-hadiah yang disediakan ialah iPad, telefon bimbit dan televisyen.

MPSJ juga membuat pengecualian sewaan kemudahan sukan bagi bulan Mac dan akan menganjurkan kelas memasak, jahitan manik dan kristal kepada mereka yang berminat. Kelas percuma ini akan dijalankan dua kali pada bulan Mac di Kompleks 3C.

Keseluruhannya, MPSJ memperuntukkan kos lebih kurang sebanyak RM1.755 juta bagi aktiviti-aktiviti sambutan ulang tahunnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.