Categories
SELANGOR

Mudahkan Penduduk Memantau : Jaket Khas Untuk Kontraktor Sampah

SHAH ALAM, 6 JAN : Kontraktor yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah pemantauan kerajaan Selangor untuk menjalankan kerja-kerja pengutipan sampah akan dibekalkan jaket khas bagi membolehkan penduduk setempat membuat laporan sekiranya berlaku sebarang masalah.
Perkara itu diumumkan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu kepada pemberita selepas selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek-cek Rumah Ibadat Selain Islam di SUK hari ini.

Menurut Ronnie, jaket khas ini bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

“Kita akan meminta semua kontraktor untuk memakai jaket yang tertera nama syarikat dan nombor telefon syarikat itu supaya penduduk setempat boleh bekerjasama untuk menjadi pemantau. Ia akan dilancarkan pada tahun ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri juga memberi kelulusan kepada setiap PBT untuk memberi sagu hati atau ganjaran kepada penyampai maklumat berhubung masalah kutipan sampah di kawasan masing-masing.

Katanya, ia adalah pendekatan terbaik dan kaedah terbaru yang akan memudahkan PBT untuk saling bekerjasama dengan penduduk setempat.

“Baharu-baharu ini saya telah memberi kelulusan kepada PBT untuk memberi ganjaran yang berpatutan kepada orang ramai (pemberi maklumat) sekiranya berlaku sebarang masalah. Jumlah ganjaran itu terpulang kepada PBT masing-masing,”jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang ugutan yang diterima oleh kontraktor dan PBT baharu-baharu ini, Ronnie percaya kejadian itu dilakukan oleh kontraktor yang menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan syarat yang dikenakan kerajaan negeri.

Tambahnya, setakat ini hanya pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menerima ugutan namun laporan polis telah pun dibuat bagi menyiasat perkara berkenaan.

“Kita merasakan perkara ini mempunyai kaitan dengan kontraktor yang menarik diri sebab ada ugutan daripada kontraktor yang memaksa kerajaan negeri memanjangkan kontrak mereka selama setahun tanpa sebarang justifikasi.

“Kita mahu mengambil peluang ini untuk menentukan semua kontraktor yang dilantik adalah berkesan. Jadi, kalau ada kontraktor yang memaksa kerajaan negeri untuk menerima mereka walaupun kerja mereka tidak bagus, ia adalah tidak wajar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.