Categories
NASIONAL

Negara Bebas Apabila SPR, Media Dan Kehakiman Bebas

ALOR SETAR, 14 JAN : Malaysia akan menjadi sebuah negara demokrasi yang bebas sepenuhnya dari krisis yang membelenggu rakyat selama ini sekirannya peranan media, SPR dan institusi kehakiman negara dibebaskan sepenuhnya tanpa pengaruh mana-mana kuasa politik.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan fitnah liwat baharu-baharu ini tidak seharusnya dilihat sebagai kemuncak pembebasan krisis politik negara.

Namun, Hadi mengingatkan bahawa keutamaan perjuangan Pakatan Rakyat ialah membebaskan mahkamah rakyat dalam menentukan pemimpin yang bakal mentadbir negara selepas PRU-13.

“Kita mengaharapkan pembebasan Anwar Ibrahim sebahgai titik perubahan baharu dalam pembebasan badan kehakiman yang mana ia perlu diikuti dengan pembebasan kehakiman rakyat dalam pilihanraya.

“Mana mungkin rakyat mampu menjadi hakim yang adil sekirannya mahkamah yang sistematik dan adil, seiring dengan peranan media yang bebas, selagi peranan media tidak bebas selagi itulah mahkamah rakyat tidak,” jelas Hadi dalam satu sidang media sejurus selepas tamat sesi pagi Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 di sini hari ini.

Presiden PKR, Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, detik pembebasan Anwar memberi satu lagi lonjakkan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus membawa rakyat bersama-sama hidup di dalam sebuah negara yang merdeka sepenuhnya.

“Sekarang ini adalah masa yang tepat untuk rakyat dapat kemerdekaan yang sebenarnya apabila Pakatan hari ini menjadi lebih mantap apabila Anwar terbebas dari tuduhannya.

“Ini bukan sahaja bukti kekuatan kita kepada BN, malah dorongan kepada rakyat untuk terus berani membuat perubahan dengan menolak kepimpinan BN,” jelas Azizah.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula berkata, penganjuran Konvensyen pada hari ini bukan sahaja meraikan keputusan pembebasan Anwar, malah ia lebih kepada persiapan dan peringatan penting bagi rakyat menghadapi pilihanraya yang dijangka terkotor pernah diadakan.

“Saya rasa tema konvensyen ‘Bersihkan Malaysia’ adalah amat bertepatan dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia dari kerakusan kuasa pemerintah Umno-BN.

“Pada saya, krisis politik kotor ini bakal menjadi lebih kritikal melanda Malaysia sekirannya Pakatan Rakyat tidak berjaya pada PRU-13 akan datang,”jelasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.