Categories
NASIONAL

P.Pinang Mohon Pilihan Raya PBT

PULAU PINANG, 18 JAN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mengeluarkan pemberitahuan warta yang mengecualikan pihak-pihak berkuasa tempatan Pulau Pinang daripada Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Ini merupakan antara langkah awal kerajaan sebelum permohonan pengisytiharan mahkamah dilakukan bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah beberapa kali menghantar usul untuk berunding dengan Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan (NCLG) berkenaan dengan hasrat memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan namun segala usaha itu tidak dilayan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow pernah menulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selaku sekretariat NCLG pada Julai dan Ogos 2009 namun pihak kementerian enggan melanjutkan perbincangan mengenai perkara ini.

“Ekoran daripada itu, Kerajaan Negeri telah melantik panel peguam yang terdiri daripada Dato’ Yeo Yang Poh, En Tommy Thomas dan En Malik Imtiaz.

“Panel tersebut telah menasihati bahawa pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan berada dalam bidang kuasa Negeri mengikut Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang telah disemak semula pada tahun 1991,” ulas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kerajaan tempatan merupakan perkara Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 1(4) Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengecualikan mana-mana kawasan kerajaan tempatan daripada peruntukan-peruntukan Akta tersebut.

“Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang telah diarahkan untuk mengeluarkan pemberitahuan warta ini dan juga untuk mengeluarkan fiat melantik Tommy Thomas untuk mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mahkamah,” beritahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dijangka akan merujuk perkara ini kepada Mahkamah sekiranya pemberitahuan warta dilakukan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.