Categories
NASIONAL

PAS Selangor Fokus Tawan Semua 20 Kerusi DUN

SHAH ALAM 27 JAN : PAS Selangor komited untuk memenangi kesemua 20 kerusi yang ditandinginya dalam Pilihanraya Umum Ke-13(PRU-13) kelak dengan menjadikan tema ‘PAS ganti Umno’ satu realiti politik dan bukan sekadar cogan kata semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman turut yakin sokongan mantap daripada pengundi di Selangor walaupun pihak Umno-BN cuba menangguk di air keruh dengan menimbulkan pelbagai tuduhan liar dan fitnah ekoran pemecatan Dr Hasan Ali dan rombakan kecil Exco Selangor baru-baru ini.

“Kita sudah membuat jelajah, dan Alhamdulillah kita merasakan perkara berhubung rombakan exco itu tidak akan mengurangkan sokongan daripada orang Melayu dan sebagainya,” katanya.

Dalam sidang media itu juga, PAS Selangor juga menegaskan rombakan kecil yang dilakukan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil alih Exco Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik Eco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan merupakan persetujuaan bersama.

Ia dipersetujui atas sebab pilihanraya yang begitu hampir dan tugasan sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam akan memakan masa untuk memahami dan menguasai selok-beloknya yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi.

Sementara itu, menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, tidak timbul masalah bagi PAS walaupun tidak memegang Exco Hal Ehwal Islam sambil menegaskan bahawa Islam itu luas dan relevan itu semua bidang.

“Dengan adanya Exco Belia dan Sukan itu bagi kita ia memberikan ruang yang luas untuk kita terokai dan untuk kita menambahkan sokongan bagi PAS.

“Kita juga boleh menumpukan usaha untuk golongan belia untuk perkemaskan lagi untuk tambah lagi dokongan dalam masyarakat, kita kena faham Islam ini bukan hanya terhad terhadap Exco Hal Ehwal Agama, Islam ini luas untuk belia, kebajikan , pendidikan semuanya mempunyai hubungan dengan Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.