Categories
SELANGOR

Peguam: Pertuduhan Pada Adam Adli Tiada Asas Peruntukan

KUALA LUMPUR, 6 JAN : Pihak polis tiada mempunyai asas peruntukan dalam perlembagaan untuk meneruskan siasatan terhadap mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan IDris (UPSI) Adam Adli, 23 berhubung insiden menurunkan kain rentang bergambar Datuk Seri Najib Razak bulan lepas.

Adam yang ditemani peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 11.30pagi untuk disoal siasat dan keluar kira-kira sejam selepas itu.

“Apabila saya meminta untuk melihat laporan, pegawai penyiasat Muhammad Nor tidak membenarkan dengan alasan ketuanya melarang. Jadi kita tidak tahu samada laporan itu benar-benar wujud dan apakah tuduhan yang telah diletakkan dalam laporan tersebut,” ujar peguam hak asasi manusia itu.

Menurutnya lagi, sewaktu siasatan dijalankan, Adam dikemukakan 11 soalan yang mana Adam menggunakan haknya mengikut seksyen 112 (2) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak menjawab sebarang soalan.

Fadiah turut mempersoalkan salah satu soalan daripada pihak siasatan tentang kesahihan Adam memijak bendera yang telah diturunkan sedangkan ianya merupakan satu aligasi yang palsu.

“Walhal tiada langsung insiden memijak apa-apa pada ketika itu. Adam hanya menurunkan kain rentang yang ada wajah Najib untuk 5 minit bagi digantikan dengan bendera kebebasan akademik. Kemudian kain rentang Najib itu dinaikkan semula,” jelas Fadiah lagi.

Fadiah turut menjelaskan bahawa tindakan Adam itu tidak menyalahi undang-undang malah setiap orang mempunyai hak untuk berbuat demikian.

“Kita tidak tahu mengapa polis sanggup membazirkan masa dan sumber-sumber mereka untuk mengheret mahasiswa yang hanya mempratikkan hak mereka di bawah undang-undang dengan taktik-taktik intimidasi dan ugutan bagi mengheret mahasiswa ke balai polis,” tambah Fadiah.

Adam pula memberitahu beliau berharap agar pihak polis dapat menjalankan sisatan dengan adil dan jika tiada asas pertuduhan, maka tidak perlu membazirkan masa beliau lagi.

Adam disiasat di bawah peruntukan 504 kanun keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published.