Categories
SELANGOR

Penduduk Kg Pasir Terharu Terima Sumbangan Isteri MB

AMPANG, 10 JAN : Prihatin dengan nasib mangsa kebakaran Kampung Pasir dalam kejadian 8 Januari lalu, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) hari ini tampil memberi sumbangan bantuan persekolahan kepada keluarga mangsa.

Sekurang-kurangnya 31 pelajar dari kalangan mangsa kebakaran itu menerima bantuan berupa pakaian persekolahan bernilai RM100 setiap seorang.

Bantuan disampaikan Yang Dipertua PEKAWANIS, Puan Sri Salbiah Tunut.

Mangsa Kebakaran, Hanimah Buang, 42, menzahirkan rasa terharu yang tidak terhingga di atas bantuan yang dihulurkan ini.

Ibu kepada lima orang anak yang masih bersekolah ini berkata, anak-anaknya kini boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa kerana sebelum ini, keluarganya hanya tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian tersebut.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak yang membantu, hanya tuhan sahaja yang mampu membalasnya,” katanya.

Kisah yang sama turut dikongsi suri rumah berusia 39, Samsiah Zamhari, kerisauannya kini reda apabila tiga anaknya menerima bantuan tersebut.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskan segala urusan, saya keluar rumah selamatkan diri sehelai sepinggang, nasib baik semua anak-anak saya selamat,”katanya.

Kegembiraan jelas terpamer diwajah adik Jumairi Jallip, 9, apabila menerima seragam sekolah baru setelah segala peralatan persekolahannya sebelum ini musnah terbakar.

“Saya sangat seronok kerana dapat baju sekolah baru, saya kini bersemangat untuk terus kesekolah dan saya juga lebih semangat untuk terus belajar,”katanya ketika ditemui TVSelangor ketika asyik mencari pakaian sekolah.

Ketika ditemui Salbiah yang juga isteri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, melihat kepada keperluan untuk memastikan mereka meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

“Ini (bantuan) bukan suatu yang tradisi, ia adalah satu bantuan kebajikan sekiranya terdapat masalah dan kemalangan seumpama ini, kami akan turun memberi bantuan sedaya yang kami mampu.

“Melihat kepada keperluan mangsa kebakaran seperti ini, keutamaan yang kami lihat adalah dari segi pendidikan kerana ia harus diteruskan dan mungkin pada kebelakangan nanti kita akan lihat keperluan susulan yang bakal kami bantu kerana,”jelasnya.

Kejadian kebakaran tersebut melibatkan 36 buah rumah dengan kapasiti 179 penghuni hilang tempat perlindungan apabila rumah mereka hangus dijilat api pada kejadian 8 Jan lalu.

Kesemua mereka kini ditempatkan dipenempatan sementara Dewan AU5 Keramat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.