Categories
NASIONAL

PKR Gesa Kerajaan Lantik Pentadbir Korporat Bagi NFC

SHAH ALAM 14 Jan: Seorang pentadbir korporat perlu dilantik bagi mengambil alih pengurusan projek sakit National Feedlot Corporation bagi membuktikan kerajaan pusat serius dalam menyelesaikan kemelut projek RM250 juta itu.

Pengarah strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata seorang pentadbir korporat boleh mengambil alih pengurusan NFC bagi melaporkan kepada Dewan Rakyat penyelewengan yang telah berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Menteri Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Sekiranya tindakan membekukan aset tidak disusuli dengan perlantikan pentadbir korporat, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga seperti mana keputusan mengarahkan Datuk Seri Shahrizat Jalil mengambil cuti berbayar selama tiga minggu sahaja,” Rafizi berkata di dalam sebuah kenyataan di sini.

Kerajaan pusat semalam mengumumkan bahawa aset NFC akan dibekukan sementara menunggu siasatan penuh dijalankan. Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, juga diberikan cuti tiga minggu sementara siasatan dijalankan.

Keluarga Shahrizat, yang mendapat kontrak bagi menjayakan NFC, didakwa menyeleweng duit RM250 juta yang diberikan untuk menguruskan projek tersebut.

Rafizi turut membidas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan kawalan projek NFC kepada Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Dakwa Rafizi, keseluruhan penyelewengan berlaku dibawah seliaan mereka sebelum ini.

“Kejadian dana yang besar yang dipindahkan ke syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil berlaku pada ketika kedua-dua orang menteri ini sepatutnya memastikan dana hanya dibelanjakan bagi tujuan aktiviti perniagaan NFC sahaja.

“Kecuaian mereka sebelum inilah yang menyebabkan dana rakyat diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, tanah banglo, melancong ke luar negara dan lain-lain,” Rafizi berkata.

Leave a Reply

Your email address will not be published.