Categories
SELANGOR

Projek RM37 Juta Perbaiki Aliran Trafik Seri Kembangan

SERDANG,12 JANUARI : Penduduk di kawasan Seri Kembangan boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan RM37 juta bagi membaiki lalulintas di kawasan itu yang selama ini sesak teruk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembinaan jalan sehala di seluruh kawasan Seri Kembangan dijangka dapat mengatasi masalah persimpangan dua hala yang begitu banyak.

“Pengajaran kesesakan yang berlaku begini akan memberi kita peluang untuk mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan perancang bandar supaya meneliti perancangan-perancangan masa depan,” kata Abdul Khalid semasa ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Sistem Sirkulasi Lalulintas di Seri Kembangan.

Menteri Besar berharap penduduk bersabar dan dapat memberi kerjasama apabila berlaku kesesakan semasa projek memperbaiki aliran trafik ini berjalan.

“Anggaran kos melebihi RM37 juta, tetapi projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dan fasa pertama ialah pembinaan jalan yang baru dipersimpangan dan juga jalan bertingkat serta mengubah jalan-jalan yang berkaitan.

“Dengan ini, masalah kesesakan aliran trafik dapat dikurangkan. Seri Kembangan adalah tempat yang mempunyai rekod yang mempunyai banyak persimpangan dalam jarak yang begitu dekat,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, kesesakan jalan raya yang di hadapi penduduk di Seri Kembangan pada waktu puncak mengganggu perkembangan ekonomi setempat.

” Masalah kesesakan adalah masalah yang kritikal yang dihadapi oleh masyarakat setempat, ini jelas telah menyebabkan rakyat menderita dan hidup dalam satu keadaan yang penuh dengan tekanan,” katanya.

Menurut Ean lagi,masalah kesesakan ini menyebabkan Seri Kembangan yang dahulunya dikenali sebagai ‘Pekan Kasut’ mengalami kemerosotan perkembangan ekonomi.

” Saya yakin dengan kejayaan projek ini akan menambah baik situasi trafik dan memberi manfaat kepada pengguna jalan di masa hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.