Categories
NASIONAL

Serangan Ala Samseng Bukti Umno Selangor Terdesak

SHAH ALAM 26 JAN : PAS Selangor mengutuk keras tindakan samseng ahli dan penyokong Umno di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Jalan Kebun yang menyebabkan kecederaan beberapa individu yang hadir pada penerangan Asal Bukan Umno (ABU) dan Hindraf.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, kejadian itu membuktikan ketidakmampuan Umno-BN memimpin dan memerintah negara yang berbilang bangsa dan agama.

“Ia turut membuktikan keadaan terdesaknya Umno khususnya yang terpaksa menggunakan tindakan samseng untuk mempertahankan kedudukannya dan pembohongan kepada rakyat,” kata Hasbullah semasa sidang media PAS Selangor di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjayanya, Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan.

Menurut Hasbullah, pihaknya mendesak polis menjalankan siasatan secara professional dan menahan pihak yang bersalah dalam peristiwa yang memalukan itu.

“Adalah tugas dan tanggungjawab polis untuk mempertahankan hak rakyat dan segala tindakan samseng yang perlu dikenakan tindakan yang tegas.

“Politik samseng adalah corak politik golongan yang kehabisan modal dan terdesak sedangkan Islam tidak sekali-kali kehabisan modal ataupun terdesak. PAS menyeru ummat Islam untuk berhijrah kepada politik Islam dan meninggalkan Umno dan politik samsengnya,” katanya.

Sebelum ini, pada 22 Januari lalu menyaksikan serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, cedera parah apabila diserang oleh Umno dan dimasukkan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.