Categories
SELANGOR

Yayasan Selangor Perlu Bangun Pendidikan Pelajar Luar Bandar

HULU SELANGOR,21 JAN : Yayasan Selangor diseru untuk terus memainkan peranan penting dalam memberikan peluang dan menolong pelajar luar bandar mencapai kecemerlangan setanding dengan pelajar bandar.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan pengurusan Yayasan Selangor untuk terus menjadi penggerak dan pemangkin generasi luar bandar.

“Jadi sebab itulah Yayasan Selangor diilhamkan, supaya murid-murid daripada luar bandar dapat bersama-sama berganding bahu dengan pelajar-pelajar di sekolah menengah di bandar dengan itu mereka akan mempunyai pelajaran dan aktiviti yang sama, dalam keadaan itu minda mereka terbuka untuk bercita-cita menjadi pelajar yang terbaik,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2010 yang berlangsung di Kem Bina Semangat Ampang Pecah, Kuala Kubu Baru, di sini.

Turut hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali dan Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor merupakan majlis tahunan yang dilaksanakan sejak 1970-an yang merupakan salah satu usaha menggalakkan pelajar agar berusaha dengan lebih tekun dan gigih.

Abdul Khalid juga berharap Yayasan Selangor menunjukkan keupayaan dalam mengurus dana dan hartanah milik Yayasan Selangor dengan baik dan cekap.

“Dalam usaha untuk membangunkan pendidikan itu, saya juga meminta Yayasan Selangor supaya dapat mengurus harta-harta yang diberikan kepada Yayasan Selangor sebagai amanah untuk dijadikan punca-punca dana untuk membangunkan Yayasan Selangor .

“Kerajaan negeri adalah bertanggungjawab untuk berusaha dan menentukan pengurusan Yayasan Selangor ini terus bertanggungjawab dan membuktikan keupayaan dalam mencapai kejayaan mengurus hartanah Yayasan Selangor,dana dan para pelajar serta mampu menggembeling tenaga bagi memberi terus bakti,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Yayasan Selangor Ilham Marzuki berkata Yayasan Selangor terus komited membangunkan masyarakat luar bandar melalui pendidikan sebagai usaha membasmi kemiskinan melalui pemberian biasiswa dan pinjaman kepada para pelajar yang berkelayakan.

“Kita telah mengambil langkah meluaskan program asrama di bawah Yayasan Selangor di luar Kuala Lumpur dan telah terbukti mencapai kejayaan dengan program yang baik serta pelajar dapat mencatat keputusan yang sama baik dengan pelajar-pelajar di bandar.

“Kebelakangan ini, Yayasan Selangor turut menempatkan pelajar yang mempunyai sekolah harian dan sekolah rendah agama yang ditawarkan untuk menyertai program ini. Pada tahun ini kita telah meluaskan program ini kepada 50 buah sekolah harian dan sekolah agama ,” katanya.

Dalam majlis itu, Muhammad Firdaus Haris menerima Anugerah Khas Yayasan Selangor, manakala Afidah Ab Wahab dinobatkan sebagai Siswazah Terbaik. Anugerah Pelajar Harapan pula dianugerahkan kepada Muhammad Solleh Asmadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.