Categories
SELANGOR

Bantuan Cermin Mata Pada Keluarga Miskin

SUBANG JAYA, 25 FEB : Seramai 100 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun daripada empat buah sekolah gembira apabila menerima bantuan cermin mata hasil tajaan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam upacara penyerahan itu berharap dengan adanya pemberian cermin mata ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibubapa pelajar.

“Kerana sekarang bukan murah perbelanjaan sebulan bagi menghantar anak-anak ke kelas tuisyen, pengangkutan ke sekolah, duit susu dan sebagainya.

“Jadi kita berharap cermin mata ini akan dihargai oleh para pelajar,” ujar Hannah yang turut memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan RM 10,000 bagi kos bantuan cermin mata ini.

Selain itu, Hannah juga mengumumkan pelbagai lagi program kebajikan yang disediakan Kerajaan Pakatan untuk dinikmati pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar.

“Contohnya pemberian beg sekolah oleh Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan setiap tahun kepada golongan pelajar kurang berkemampuan.

“Kita juga memperuntukkan lebih kurang RM 10,000 hingga RM 20,000 untuk bantuan uniform, kasut sekolah serta peralatan alat tulis lain yang disampaikan melalui Subang Jaya BUddhist Association, masjid dan surau,” beritahu Hannah dalam ucapannya di hadapan ibu bapa pelajar yang hadir pada majlis penyerahan tersebut di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Subang Jaya hari ini.

Sementara itu, ibu kepada pelajar Darjah Dua yang menerima sumbangan cermin mata, Kang Cheng Lai gembira dan berbesar hati dengan sikap mesra rakyat yang ditunjukkan Hannah Yeoh.

“Saya harap kerajaan yang ada ini akan kekal dan seterusnya dapat meneruskan usaha membantu rakyat Selangor,” ucap ibu tersebut sambil menambah pelbagai perubahan dapat dilihat sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri.

Untuk kawasan Dun Subang Jaya, sekolah-sekolah yang terlibat untuk menerima bantuan cermin mata ini adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tun Tan Cheng Lock, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Tun Sambathan, Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar serta Sekolah Agama Masjid Darul Ehsan.

Sumbangan pemberian cermin mata ini diberikan kepada keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan ke bawah. Satu program pemeriksaan mata juga telah diadakan sebelum ini bagi para pelajar yang layak.

Leave a Reply

Your email address will not be published.