Categories
SELANGOR

Buka Laluan Anak Sungai Untuk Atasi Banjir

KUALA SELANGOR, 20 FEB : Kerajaan Selangor sedang berusaha mencari dana bagi mengorek dan membuka laluan anak sungai yang tertutup bagi menyelesaikan masalah banjir dan memudahkan nelayan ke laut.

Anak Sungai yang dulunya menghubungkan kampung nelayan di Assam Jawa, Bukit Rotan dan Api-Api telah menjadi cetek dipercayai akibat projek penternakan udang di kawasan itu.

Menurut ADUN Bukit Malawati M Muthiah, projek-projek tersebut diberi tanah tepi sungai oleh pentabiran Umno-BN dahulu.

Muthiah berkata, pihaknya telah mengemukan cadangan kepada Pejabat Pegawai Daerah Kuala Selangor dan difahamkan pihak berkuasa itu sedang menunggu peruntukan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya alur sungai tersebut perlu didalamkan dan jeti dibina bagi membuka laluan air di ketiga-tiga kawasan itu.

“Kawasan keseluruhannya lebih kurang 1,000 ekar yang sudah diambilalih Kerajaan Negeri. Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) bersedia untuk membuatnya tetapi masalahnya kerajaan negeri dahulu bagi hakmilik atas sungai kepada pihak pengusaha udang,” katanya bila ditemui di pejabatnya.

Masalah sungai tertutup itu sudah lama menhantui penduduk kata pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Assam Jawa, Ramli Yusof.

Menurut Ramli, penduduk mula menghadapi masalah sejak zaman 1980an lagi apabila pemilikan tanah diberi kepada pengusaha udang.

“Kita minta jasa baik Kerajaan Negeri ambil perhatian berhubung masalah ini dan kita masyarakat kampung minta sungai di Assam Jawa, Bukit Rotan dan Api-Api dibuka balik supaya tiada lagi banjir dan nelayan mudah ke laut.

“Sebelum ini kita ada mengemukakan masalah ini kepada kerajaan terdahulu tetapi tiada sebarang tindakan.

“Kita berharap dengan adanya kerajaan baru (Pakatan Rakyat) maka dapat membela masa depan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, sebelum ini memang penduduk kampung tidak menghadapi sebarang masalah dengan adanya sungai di ketiga-tiga kawasan itu.

“Bila anak sungai ini tiada, masalah banjir mudah berlaku dan nelayan pun susah ke laut dan mereka terpaksa ke jati lain untuk tujuan itu,” katanya.

M Muthiah pula berkata masalah itu bertambah rumit kerana pentadbiran Umno-BN dulu dengan sewenang-wenangnya memberi hak milik tanah tepi sungai.

“Masalah ini bila dirujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), makluman yang kita dapat perkara itu memang boleh kerana sungai itu belum digazetkan. Bagi saya ini tidak betul dan tidak boleh dibuat begitu. Semua pihak perlu menjaga kepentingan sungai,” katanya.

Muthiah menambah, pihaknya sedang mengusahakan satu perkampungan tersusun seluas 20 ekar bagi golongan nelayan bagi mengatasi masalah di kawasan itu, termasuk menyediakan dana untuk pendidikan anak nelayan.

Katanya, pihaknya berharap dapat mengatasi kebanyakan masalah di kawasan itu sebelum menjelang akhir tahun ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.