Categories
SELANGOR

Halimah: Isu Tapak SMK Sg. Ramal Selesai

SHAH ALAM, 16 FEB : Isu tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal di Hulu Langat selesai hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, mesyuarat Exco semalam memutuskan untuk memberi kelulusan permohonan pemberi-milikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah berkenaan.

“Keputusan ini dicapai hasil perbincangan bersama dengan wakil Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pejabat Tanah pada 13hb lepas,” ujar Halimah.

Halimah turut memberitahu pihak MPKj bersetuju menarik balik Arahan Memberhentikan Kerja yang dikeluarkan ke atas kerja-kerja pembinaan di atas tapak berkenaan sebelum ini.

“Kini segala kerja-kerja berkenaan boleh diteruskan kembali kerana isu ini sudah selesai,” jelas Halimah ringkas.

Buat masa ini, hanya terdapat dua sekolah rendah di kawasan Sungai Ramal iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam dan SK Sungai Ramal Luar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.