Jamil Khir Diminta Perjelaskan Agihan Zakat MAIWP

SHAH ALAM 13 FEB : Pemuda PAS hari ini meminta penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung kelulusan permohonan peruntukkan Yayasan Taqwa berjumlah RM1 juta daripada Jawatankuasa Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, situasi ini menimbulkan tanda tanya memandangkan kedua-dua agensi tersebut dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Jamil Khir.

“Pada 17 September 2011, Yayasan Taqwa telah memohon sebanyak RM1 juta daripada Jawatankuasa Baitulmal MAIWP tetapi pada 12 November 2011, mereka (MAIWP) telah meluluskan RM4 juta,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, situasi ini menimbulkan tanda tanya kerana permohonan ini daripada Jamil Khir kepada Jamil Khir dan diluluskan sendiri oleh Jamil Khir.

Selain itu, pihaknya turut menuntut penjelasan terperinci berhubung penggunaan wang tersebut memandangkan ianya melibatkan jumlah yang besar.

Katanya, perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana membabitkan penggunaan jumlah wang zakat yang besar. Sedangkan masih ramai yang belum dapat menikmati agihan zakat sepenuhnya meskipun jumlah pungutan MAIWP meningkat setiap tahun.

“Rasional apa Yayasan Taqwa itu diwujudkan dalam keadaan MAIWP memang diwujudkan untuk memungut dan mengagihkan zakat. Timbul tanda tanya yang besar. Kenapa perlu diwujudkan satu lagi badan untuk dialirkan wang itu kepada perkara-perkara lain yang selain asnaf untuk diberikan secara terus kepada mereka (asnaf),” soal beliau.

Yayasan Taqwa adalah agensi yang berada di bawah MAIWP yang ditubuhkan pada tahun 1990 dan ditubuhkan dibawah akta syarikat.

Dalam pada itu, Pemuda Pas turut menuntut penjelasan dan pendedahan audit secara terperinci daripada Jamil Khir berhubung perbelanjaan pengurusan Yayasan Taqwa berjumlah RM2 juta.

“Kalau sekiranya MAIWP mengagihkan wang zakat secara terus kepada asnaf tanpa perlu kepada Yayasan Taqwa dengan kos pengurusan berjumlah RM2 juta, saya kira cukup ramai asnaf yang boleh menikmati wang zakat tersebut.

“Kalau saya kira RM2 juta, RM5,000 seorang sudah tentu 400 orang asnaf boleh menikmatinya,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan jumlah besar pengagihan kepada asnaf amil yang berjumlah RM23.6 juta daripada jumlah keseluruhan sedangkan asnaf lain mendapat jumlah agihan yang lebih redah.

Merujuk kepada laporan tahunan 2010 MAIWP, jumlah keseluruhan agihan kepada asnaf berjumlah RM186.5 juta

Leave a Reply

Your email address will not be published.