Categories
NASIONAL

Kehadiran Kapal Zim Bukti Malaysia Ada Hubungan Dengan Israel

KLANG, 22 FEB : Jingga 13 membantah keras kehadiran kapal dari Israel, Zim Integrated Shipping Service Ltd (Zim Integrated) yang melabuh di Pelabuhan Klang di sini yang didakwa sebagai bukti wujudnya hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, pihaknya mengadakan perhimpunan aman itu bagi menyatakan protes terhadap kerajaan ditadbir Umno-Barisan Nasional (BN) yang dilihat membantu membangunkan ekonomi Israel.

Menurutnya, pihaknya juga menyangkal kenyataan pengurusan Westports Malaysia (Westports) bahawa kapal dari negara Zionis itu hanya singgah di pelabuhan itu dengan penyatakan Jingga 13 menyaksikan sendiri kontena syarikat itu dibawa naik ke dalam kapalnya pada 16 Februari lalu.

Katanya, masyarakat umum di bandar itu juga boleh melihat dengan jelas kontena Zim Integrated diangkut keluar oleh lori dari pelabuhan itu.

“Bermakna memang wujud perdagangan bukan sepertimana didakwa oleh Westports hanya singgah. Ini satu pembohongan kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pihak media di sini hari ini.

Fariz berkata, sekiranya tiada sebarang hubungan perniagaan pastinya tidak semudah itu kapal dari Israel boleh singgah dan berlabuh di pelabuhan negara ini.

Malah katanya, bukan sekadar satu kapal tetapi dikatakan terdapat tiga kapal Zim integrated berlabuh di pelabuhan.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada lawan web www.zim.com terbukti bahawa kapal Zim Europe adalah hadir terus dari Haifa, Israel ke Pelabuhan Klang. Hubungan dagang dan perniagaan ini adalah bukti bahawa Malaysia mempunyai hubungan erat dan juga hubungan “diplomatik” di antara dua kerajaan.

“Bagaimana kapal ini boleh masuk dengan senang kalau tidak wujud satu hubungan “diplomatik” antara kerajaan Umno-BN dengan kerajaan Israel?,” soalnya.

Fariz mendakwa hubungan perniagaan antara kerajaan Malaysia dan Israel memang wujud bagi membantu negara Zionis itu dari segi ekonomi kerana Zim Integrated Shipping Service Ltd hampir setiap bulan berlabuh di Pelabuhan Klang bagi menjalankan perniagaan termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Jestru kita minta kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri kabinet yang terlibat menjelaskan dasar dan polisi yang selama ini disembunyikan, terbukti bahawa Umno-BN mengiktiraf kerajaan Israel dan bersifat hipokrit terhadap kenyataan-kenyataan sebelum ini. Pendokong kerajaan Israel di Malaysia ini ialah Umno-BN,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga memiliki dokumen yang dicop pihak Kastam membuktikan barangan eksport dibawa keluar dengan menggunakan kapal dari Israel itu.

“Kalau betul tiada sebarang perniagaan, kenapa ada cop oleh Kastam Malaysia bahawa syarikat di Malaysia menghantar kayu balak dengan menggunakan kapal Zim Integrated,” katanya.

Fariz menambah, pihaknya akan menghantar memorandum berhubung perkara ini ke Kedutaan Palestin pada 29 Februari ini.

ends

Leave a Reply

Your email address will not be published.