Categories
NASIONAL

Khalid Samad: Hukum MP Sabak Bernam Tak Bererti Kehakiman Bebas

SHAH ALAM, 29 FEB : “Walaupun Datuk Abdul Rahman Bakri adalah Ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi dia masih lagi ikan kecil berbanding dengan yang lebih besar iaitu jerung-jerung yang masih lagi tetap bebas,” begitu komen Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Khalid berkata demikian apabila mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini yang mendapati Ahli Parlimen Sabak Bernam itu bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntuan palsu berjumlah RM80,000.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, keputusan diumumkan itu berkemungkinan bermotifkan politik.

Katanya keputusan tersebut tidak melambangkan institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negara ini bebas kerana banyak lagi kes lain yang “dilepaskan” serta tidak disiasat.

Menurut Khalid, Umno-BN selaku kerajaan mungkin bertindak begitu bagi menggambarkan imejnya yang bersih dengan menjadikan Abdul Rahman sebagai “korban”.

“Ianya kemungkinan mempunyai motif politik di mana Datuk Abdul Rahman ini dijadikan sebagai korbanlah demi memperlihatkan imej Umno-BN itu.

“Ini di antara tindakan yang mungkin dilakukan untuk menunjukkan bahawa instituti kehakiman di negara ini bebas tetapi hakikatnya tidak.

“Masih banyak lagi kes-kes yang jelas tidak disiasat sampai ke akar umbi. Maka dengan ini, institusi kehakiman dan SPRM masih lagi tidak boleh dikatakan bebas dengan sepenuhnya,” katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan Abdul Rahman, 47, bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa.

Abdul Rahman dituduh membuat lapan tuntutan palsu dengan nilai RM10,000 setiap satu yang berjumlah RM80,000 daripada peruntukan kawasannya berhubung majlis yang tidak pernah dijalankan.

Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ayer Tawar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.