Categories
NASIONAL

Kolam Udang Haram Cemar Paya Bakau Di Tanjung Karang

TANJUNG KARANG, 21 FEB: Keunikan hutan bakau semula jadi sepanjang pantai di Tanjung Karang tercemar akibat penerokaan secara haram dengan menjalankan projek penternakan udang secara haram.

Projek penternakan udang ini didakwa oleh Naib Yang Dipertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman sebagai milik kroni Umno.

“Pantai Selangor ini memang unik, mempunyai hidupan akuatik yang bernilai tinggi seperti kerang, mentarang dan sebagainya yang tidak terdapat di negeri-negeri lain dalam Malaysia Barat ini.

“Tetapi sayang, kawasan pantai lumpur sepatutnya dijadikan kawasan ini hutan simpan negeri Selangor,” jelasnya.

Jelasnya lanjut, akibat aktiviti penternakan haram itu menyebabkan kawasan pantai Selangor yang terkenal dengan kerang dan benihnya yang bermutu tercemar.

Pencemaran ini menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi haiwan-haiwan akuatik di kawasan paya bakau itu.

“Sekarang, benih kerang yang bermutu tinggi dari sepanjang pantai Jeram hingga Kuala Selangor sudah tidak lagi sebanyak dahulu, dah susut banyak,” beritahu Misran ketika membuat tinjauan ke lokasi terbabit baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu, keadaan ini menyebabkan penduduk di sepanjang kawasan ini termasuk di Sungai Burong kehilangan salah satu sumber mata pencarian mereka.

“Disebabkan benih kerang dah terjejas teruk, maka pendapatan penduduk di sini terjejas dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan lenyap terus dari pantai Selangor,” beritahu beliau lagi.

Misran turut mendakwa mempunyai dokumen yang mengandungi senarai nama pemilik kolam ternakan udang terbabit yang didakwanya adalah milik kroni pemimpin Umno tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.