Categories
NASIONAL

Loji Benih Padi Diswasta Kepada Kroni Noh Omar

PERMATANG, 21 Febuari: Proses penswastaan loji benih padi yang dibekalkan untuk pesawah di Permatang, Tanjung Karang yang menjejaskan pengeluaran padi berbanding sebelumnya didakwa tidak dilaksana dengan telus.

Menurut Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri, pengusaha yang dilantik untuk membekalkan benih padi oleh kerajaan diketahui umum mempunyai hubungan baik dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

“Bukanlah suatu rahsia lagi, masyarakat di Dun Permatang ini rata-rata mengetahui bahawa Syarikat Hj Mohd Noor atau dikenali HMN yang mendapat manfaat dari penswastaan logi benih padi ini mempunyai hubungan baik dengan Noh Omar.

“Ini menimbulkan tanda tanya, adakah syarikat tersebut memang betul-betul layak atau hanya kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan Noh Omar.

“Kalau kita teliti kemampuan syarikat itu dari pelbagai aspek berkaitan pengeluaran benih padi memanglah sangat diragui kemampuannya,” kata beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Tanjung Karang.

Sementara itu Naib Ketua cabang yang sama turut memberitahu benih padi yang dibekalkan kepada pesawah turut mengandungi bahan-bahan lain sekaligus merugikan pesawah.

“Kerap kali benih padi yang dibekalkan didapati bercampur dengan batang padi, padi angin, bunga rumput dan lain-lain yang banyak merugikan pesawah.

“Paling teruk sekali kalau tidak silap saya pada musim pertama, tahun lepas.

Sementara itu, beliau turut mempertikaikan langkah penswastaan itu apabila langkah tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi berbanding sebelum penswastaan.

“Kenapa kerajaan perlu menswastakan pembekalan benih padi kalau langkah itu hanya menyebabkan bukan sahaja kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih, malah kualiti benih yang dibekalkan juga tidak memuaskan,” ujar beliau.

Sebelum ini Jabatan Pertanian Selangor bertindak menyediakan benih padi kepada pesawah tempatan tetapi setelah Noh mengambil alih Kementerian Pertanian dan Asas Tani beliau menswastakannya dan dipercayai diberikan kepada kroni beliau.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.