Categories
SELANGOR

MB : 10 Ekar Tanah Bina Sekolah Tamil Berasrama

 

SHAH ALAM 13 FEB : Masyarakat India terus menerima bantuan apabila kerajaan negeri bercadang untuk membina sekolah jenis Tamil lengkap berasrama di atas tanah seluas 10 ekar di Coalfield, Kuala Selangor.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai membuktikan kerajaan negeri komited memperkasa kehidupan rakyatnya tanpa mengira kaum.

“Persetujuan dibuat dengan pemaju, Syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad, di mana kami mengkhaskan pembinaan sekolah Tamil dikawasan Coalfield.

“Ini adalah satu lagi contoh sekolah Tamil yang lengkap berasrama, dengan cara itu kita dapat menempatkan pelajar-pelajar dari kawasan pendalaman untuk belajar dan tinggal diasrama.”

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selepas menghadiri Majlis Anugerah UPSR 2011 Sekolah-sekolah Tamil Negeri Selangor di sini semalam.

 

 Tambahnya, tanah tersebut diluluskan dan kerja-kerja pecah tanah dan pembinaannya akan bermula Mei depan.

“Kita tidak mahu membincangkan soal kos kerana apa yang utama sekarang ialah berapa ramai pelajar yang mampu kita tempatkan.

“Kita juga telah menghantar pelan projek pembinaan tersebut untuk meminta kelulusan Kementerian Pelajaran memandangkan pengendalian sekolah itu akan dibuat oleh kementerian berkenaan,”jelasnya.

 

 


Leave a Reply

Your email address will not be published.