Categories
SELANGOR

MB Gesa Masyarakat Sokong PBT Kutip Sampah

PETALING JAYA, 5 FEB : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa masyarakat setempat supaya bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat didiami.
Beliau menyampaikan amanat itu dalam ucapannya di Majlis Mesra Gong Xi Fa Cai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2012 yang diadakan di perkarangan parkir Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

“Saya mahu semua memberi sokongan tentang usaha membersihkan sampah kerana ia sekarang di bawah bidang kuasa majlis bandaraya.

“Ini kerana kamu semualah pemilik kepada bandaraya ini. Duit yang dibelanjakan bagi usaha ini juga hak rakyat. Maka kita mahu penglibatan semua masyarakat menjayakannya,” tegas Abdul Khalid.

Sebelum ini, kerja-kerja pengutipan sampah dilakukan oleh syarikat Alam Flora Sdn Bhd sebelum diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) pada September tahun lepas.

Usaha ini bagaimanapun diganggu pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan kerja pembersihan sampah-sampah oleh PBT dengan mengugut kontraktor kutipan sampah dan membuang longgokan sampah di kawasan perumahan.

Pada majlis yang sama, MBPJ merealisasikan konsep hijau selaras dengan hasratnya menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya hijau berkarbon rendah.

Majlis malam tadi mengaplikasikan penggunaan bekas makanan yang berasaskan bahan bio-degaradable serta kehadiran maskot kitar semula 3R dan pameran hijau.

Disamping kehadiran dua ribu pengunjung, majlis turut diserikan dengan kehadiran EXCO Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Haji Mohamad Roslan Sakiman serta ahli-ahli majlis MBPJ.

Leave a Reply

Your email address will not be published.