Categories
SELANGOR

MB : Keselesaan Penduduk Lebih Berharga Dari Taraf “Bandaraya”

SUBANG JAYA, 12 FEB : Kerajaan Selangor mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menumpukan perhatian kepada menyediakan persekitaran yang mesra penduduk berbanding dengan mengejar taraf bandaraya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkembangan yang berlaku di kebanyakan kawasan dan daerah di Selangor amat memberangsangkan termasuk di Subang Jaya dengan pertumbuhan ekonomi yang sungguh menggalakkan.

“Kajian kita menunjukkan Subang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam adalah ketiga-tiga tempat yang mana pendapatan perkapita masyarakat melebihi pendapatan perkapita seluruh Malaysia.

“Kalau ikut kriteria pendapatan sudah tentulah Subang Jaya menjadi bandaraya tetapi kalau ikut pendapatan terlalu banyak perbandaran yang akan jadi bandaraya.

“Oleh sebab itulah kita tunggu dulu. Kriteria untuk jadi bandaraya ialah pendapatan pihak berkuasa tempatan mestilah sekurang-kurangnya RM50 juta (setahun).

“Maknanya ada hampir tujuh bandaraya baru di Selangor,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Karnival Hari Perbandaran Ke 15 MPSJ di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi; Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim; Exco Kerajaan Selangor, Dr Yaakob Sapari dan Ronnie Liu Thian Kiew serta Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Abdul Khalid berkata, pengurusan sesebuah bandar adalah berbeza seperti di dalam kes Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Maka dengan itu, keutamaan adalah bagi mewujudkan pengurusan yang cekap dan mampan bagi PBT supaya setiap kawasan perbandaran menjadi tumpuan masyarakat untuk didiami.

Abdul Khalid berkata, pembangunan di Selangor sesungguhnya amat menggalakkan dan perubahan itu menjadi banyak daerah mencapai taraf yang lebih tinggi mengikut peredaran masa.

“Kali ini saya bernasib baik dapat melihat pembangunan negeri Selangor dan bagaimana ia berubah dari masa ke semasa dan menjadikan negeri Selangor ini hampir semuanya kawasan pembandaran,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.