Categories
SELANGOR

MPSJ Serbu Dan Tutup Siber Kafe Tawar Perjudian

SUBANG JAYA 1 FEB : Degil dan tidak pernah serik!. Walaupun pernah diserbu dan disita oleh pihak berkuasa lebih tiga kali sebelum ini tetapi tiga pusat perjudian haram di sekitar kawasan USJ 21 di sini tetap berdegil meneruskan operasi haram mereka.

Bertindak atas maklumat dan risikan , pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan operasi khas dengan membuat serbuan ke atas tiga pusat siber di sini.

Dalam operasi yang diketuai oleh Ketua Penguatkuasa MPSJ, Tuan Ahmad Hasan bersama kira-kira 20 pegawai penguatkuasa berjaya merampas 92 set peralatan komputer yang terdiri daripada 20 set mesin judi dan 72 set komputer judi secara online yang digunakan untuk tujuan perjudian dengan menawarkan ganjaran lumayan.

Premis tersebut juga dilengkapi CCTV bagi memantau keadaan dan memerhatikan sebarang pergerakan oleh pihak berkuasa.

Menurut Ahmad , ketiga-tiga premis tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah pihak berkuasa tempatan di atas kesalahan melanggar Rang Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 yang menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen.

Dalam operasi lebih dua jam itu, seramai 17 orang awam diperiksa bagi membantu siasatan berhubung pusat siber yang melanggar undang-undang itu.

“Kesemua premis dikenakan tindakan sitaan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM 1,000,” katanya.

Ahmad berkata, operasi bersepadu menyita dan menutup premis tersebut dijalankan bertujuan mengelakkan pengusaha premis pusat perjudian haram terus menjalankan aktiviti perjudian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.