Pengerusi SPR Terima Tokoh Maulidur Rasul Selangor

SHAH ALAM 5 FEB : Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor tahun ini meriah dengan keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyempurnakan majlis yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Di majlis yang sama, DYMM Sultan Selangor berkenan menyempurnakan pelancaran Bulan Dakwah Selangor 2012.

Majlis dimulakan pada awal pagi dengan barisan perarakan yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berjalan sejauh 1.6 kilometer bermula di stadium Mini dan berakhir di Stadium Malawati.

Perarakan itu disertai 120 Kontijen daripada wakil Badan-badan Berkanun dan Swasta, IPTA dan IPTS, masjid-masjid dan NGO Islam serta wakil daripada sekolah-sekolah sekitar Selangor.

Majlis yang dihadiri hampir 10 ribu orang ini dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas yang menampilkan kumpulan nasyid Hijjaz dan In-Team. Manakala tazkirah ringkas diberi oleh Dr Zaharan Mohamad dengan tajuk “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”.

Seramai lima tokoh diangkat menerima anugerah Khas Maulidur Rasul dalam kategori masing-masing yang didahului oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menerima anugerah Umar Abdul Aziz.

Ditemui pemberita sejurus selepas tamat majlis, Abdul Aziz menzahirkan rasa berterima kasih kepada kerajaan Selangor diatas anugerah yang diterimanya hari ini.

“Pada saya anegerah ini adalah satu pengiktirafan kepada saya sebagai pengerusi SPR, walaupun mungkin itu hanya sebagai salah satu faktor, pertimbangan yang besar ialah kerja-kerja sosial saya.

“Saya tidak fikir selama ini ada yang memerhati, tetapi nampaknya kerajaan negeri Selangor mengiktiraf dan menghargai saya, mungkin kerana saya pernah berkhidmat selama lapan tahun di sini (Selangor) sebagai Pegawai Kewangan Negeri saya dipilih sebagai salah satu tokoh pada hari ini,”katanya.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM 15,000, sijil penghargaan, piala pusingan dan sepersalinan pakaian.

Manakala mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz menerima Anugerah Khalid Al-Walid.

Anugerah Imam Al-Ghazali pula diberi kepada Datuk Mohd Mokhtar Shafii, Dekan Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM).

Pensyarah, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr. Azizah Osman pula diangkat sebagai penerima Anugerah Saidatina Khadijah.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, piala pusingan dan sepersalinan pakaian.

Manakala yang terakhir, bagi penerima Anugerah Saidina Ali, diterima oleh pelajar Sekolah Menengah kebangsaan Sesyen 7, Shah Alam, Nurfarah Anis Zainal Abidin dengan hadiah sejumlah RM5,000, sijil penghargaan, piala pusingan dan sepersalinan pakaian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.