Categories
NASIONAL

PRU 13 : PKR Akan Kemuka Calon Hujung Februari

HULU KLANG, 17 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengemukakan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang sebaik selesai jelajah temurapat PKR ke seluruh negara yang akan diadakan pada 22hb hingga 24hb Februari ini.

Demikian beritahu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Mesra Usia Emas di Taman Melawati pagi tadi.

“Kita dalam fasa terakhir untuk meneliti persiapan menghadapi Pilihanraya yang ke-13.

“Temurapat itu nanti melibatkan pimpinan tertinggi parti termasuk Majlis Pimpinan Pusat, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Angkatan Muda dan Wanita serta cabang-cabang Keadilan di seluruh negara,” jelas Azmin.

Menurut Azmin lagi, program temurapat itu bertujuan untuk membincangkan persiapan terakhir parti termasuk strategi jentera dan gerak kerja selain mengemukakan calon-calon yang bakal bertanding mewakili PKR.

“Saya percaya selesai sahaja temurapat yang akan diadakan ini, Keadilan bersedia menghadapi Pilihanraya Umum yang akan datang,” tegas Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published.