Categories
SELANGOR

Segerakan Bantuan Mangsa Ribut Di Bukit Subang

SHAH ALAM, 9 FEB : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menggesa tindakan segera Kerajaan Negeri bagi menyediakan peruntukan khas dan mempercepatkan proses bantuan meringankan beban mangsa-mangsa ribut taufan yang berlaku di Bukit Subang dua hari lepas.

“Saya berharap agar Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius bencana yang menimpa ini demi membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan sememangnya prihatin dan mampu menyelesaikan masalah dengan kadar cepat dan cekap.

“Kerajaan boleh memantau proses bantuan yang boleh disalurkan melalui agensi-agensinya seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun pejabat kerajaan negeri sendiri,” ujar Khalid.

Menurut Khalid, kerja-kerja pembaikpulihan bangunan-bangunan yang terjejas itu mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Bagaimanapun saya percaya ini boleh disiapkan dengan kadar segera memandangkan kejadian ini merupakan kecemasan yang sangat memerlukan tindakan pantas.

“Banyak keluarga yang terjejas, mereka perlu dibantu. Jadi saya mohon kerjasama pihak JKR untuk berunding dengan pihak kontraktor untuk selesaikan masalah ini dengan segera,” tegas Khalid lagi.

Khalid turut menyampaikan ucapan tahniahnya kepada badan-badan yang menjalankan tugas dengan cekap membantu mangsa-mangsa sejurus kejadian tersebut berlaku.

“Alhamdulillah ramai yang turun membantu seperti pihak polis, bomba, MBSA, Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan, Unit Amal, Pejabat Adun dan sebagainya,” ucap Khalid dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu, sebanyak 145 keluarga terjejas dan ditempatkan di dewan berhampiran. Namun kini jumlahnya sudah berkurangan.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Blok Teratai dengan 13 rumah di tingkat atas yang kini tidak berbumbung serta penduduk di Pangsapuri Melur dan Pangsapuri Kiambang yang juga kehilangan atap akibat diterbangkan angin kuat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.