Stadium Shah Alam Akan Dibuka April Ini

SHAH ALAM 29 FEB : Setelah tiga bulan ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf, Stadium Shah Alam sedia dibuka bermula April ini.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, stadium yang mula ditutup awal Disember tahun lalu kini berada di fasa terakhir kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf yang menelan kos RM3.4 juta.

“Ada beberapa kerja utama dan antara yang ditumpukan adalah berkaitan padang dan rumput dimana harapan kita jangkakan ia sedia digunakan sebelum 6hb April.

“Rumput yang kita gunakan kali ini adalah jenis rumput lembut pantai yang kini sedang proses dipotong, dirawat dan dibaja serta disiram bagi hasil terbaik,” jelas Mohd Jaafar.

Selain padang dan rumput, fokus penyelenggaraan kali ini juga tertumpu kepada usaha memperbaiki bumbung yang rosak, penggantian kabel dan mentol lampu, menaik taraf bilik persalinan, bilik air, tangga, kerusi dan juga sistem bunyi.

Mohd Jaafar turut memberitahu segala kerja-kerja hampir 100 peratus selesai melainkan kerja pemasangan lampu yang baru mencapai 70 peratus memandangkan lampu yang akan diguna diimport dari Jerman.

“Bagaimanapun kerja-kerja pemasangan lampu ini akan siap sebelum 23hb Mac untuk proses ‘commissioning’ bagi menjamin kelancaran permainan yang akan diadakan di stadium ini,” ujar Mohd Jaafar.

Dalam pada itu, Mohd Jaafar turut mengumumkan perlawanan pertama yang bakal berlangsung merasmikan wajah baru stadium adalah perlawanan Liga Super antara pasukan Selangor dan Terengganu pada 7hb April nanti.

Selain Mohd Jaafar, turut serta dalam lawatan tersebut, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Jaafar, Pengerusi Jawatankuasa Tiket FAM, Datuk S. Sivasundaram dan juga ahli-ahli majlis MBSA.

Leave a Reply

Your email address will not be published.