Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng Chang Kim: SELCAT Minta Noh Beri Keterangan

SHAH ALAM, 17 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bersedia pada bila-bila masa untuk mendengar keterangan dari Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata Noh boleh berhubung dengan jawatankuasa SELCAT bagi membolehkan beliau mengemukankan pendengaran dan pembuktian berhubung pelbagai isu.

“Bukan sahaja isu pasir malah apa sahaja isu boleh di kemukakan kepada SELCAT.

“SELCAT tidak memilih bulu dan segala tindakan juga tidak memilih sesiapa sama ada menteri, Menteri Besar atau perdana Menteri sekali pun.” ujar beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau, Noh perlu mengikuti prosiding yang ditetapkan supaya semua dapat berjalan secara lancar.

“SELCAT tidak akan memanggil Noh untuk memberi keterangan kerana SELCAT tidak akan menjadikan kenyataan media sebagai asas untuk memanggil seseorang untuk memberi keterangan.

“Sebagai sebuah institusi dibawah kuasa Dewan Undangan Negeri SELCAT tidak boleh bertindak berdasarkan kenyataan media Noh.

“Sekiranya Noh mahu memberikan keterangan dan membuktikan apa-apa berhubung apa sahaja isu, beliau dipersilakan untuk berbuat demikian.”kata beliau yang juga Speaker Dun Selangor.

Dalam kenyataan media semalam, Noh berkata beliau sendiri akan hadir dan tampil bersama saksi dan bukti kepada SELCAT.

Noh berkata beliau bersedia mematuhi syarat-syarat yang bakal dikemukakan kerajaan negeri sekiranya beliau gagal membuktikan dakwaan beliau.

Dua hari lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Lembaga Pengarah Bebas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) dan Transparency International bertemu Noh untuk mendapatkan keterangan dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.