Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : Noh Patut Belajar Dari PKPS

SHAH ALAM, 4 MAC : Kerajaan Selangor akan menyerahkan laporan lengkap hasil audit Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar bagi membuat analisa berhubung sumber kewangan yang diperolehi perbadanan itu.

Ini disuarakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mengulas kenyataan Noh yang mencabar Kerajaan Selangor untuk mendedahkan sumber kewangan PKPS yang meningkat dari RM8.3 juta pada 2008 kepada RM114 juta tahun lepas.

Menurut Abdul Khalid, kewangan PKPS diaudit oleh kumpulan profesional yang dibuat secara tertib dan teratur mengikut lunas-lunas piawaian operasi akaun yang diamalkan kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) sejak 2008.

“Saya akan meminta Pengurus Besar PKPS untuk menghantar hasil audit kepada Noh Omar dalam masa terdekat supaya pegawainya boleh membuat analisa. Pihak Kementerian Pertanian boleh belajar daripada cara kerajaan negeri bekerja kerana akaun kita dibuat dengan tertib dan betul,” katanya.

Pada Mac 1, akhbar Selangorkini melaporkan simpanan tetap PKPS, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, telah meningkat kepada RM114 juta pada tahun 2011 daripada RM8.3 juta pada 2008, hasil kecekapan pengurusan pentadbiran Pakatan.

Semalam, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Umno-BN Selangor mempersoalkan kenyataan itu dengan mendakwa peningkatan simpanan tetap PKPS ekoran penjualan tanahnya seluas 12,000 hektar di Sarawak kepada sebuah syarikat.

Noh mendakwa transaksi jual beli itu dimulakan zaman pemerintahan Umno-BN dan selesai pada tahun 2010 dengan nilai RM97 juta.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Khalid berkata, walaupun transaksi itu benar, pentadbiran Umno-BN menjual tanah itu dengan harga yang terlalu rendah.

“Tanah itu sepatutnya tidak boleh dijual dan itu yang akan saya bangkitkan. Mengapa saya katakan kita tidak sepatutnya jual, kerana keuntungan itu terlalu kecil.

?Jadi lagi sekali Noh Omar tidak belajar pasal itu. Itu sebab isu penyelewengan dana NFC yang berlaku dalam kementeriannya juga dia tidak tahu,” tegasnya.

ends

Leave a Reply

Your email address will not be published.