Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : Selangor Penyumbang Terbesar Kemajuan Malaysia

SHAH ALAM, 4 MAC : Kemajuan secara konsisten yang dikecapi Selangor sejak 2008 baik dari sudut pentadbiran mahupun ekonomi antara penyumbang utama kepada pembangunan pesat di Malaysia sehingga menjadikan negara ini semakin gah di mata dunia.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor menyumbang 23 peratus kepada keluaran negara kasar, jumlah yang paling besar daripada 13 buah negeri di Malaysia.

Menurutnya, pembangunan di Selangor bertambah baik dan pesat sejak negeri itu ditadbir Pakatan Rakyat (Pakatan), dan ini tidak dapat dinafikan pentadbiran Umno-BN (BN) yang memerintah sebelum ini.

“Itulah sebabnya Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat berminat dengan Selangor kerana mereka merasakan suatu kehilangan kepada negeri yang memberi sumbangan melebihi 23 peratus daripada keluaran negara kasar.

?Ini bermakna, tanpa kemajuan di Selangor, kuranglah pembangunan di Malaysia. Selangor telah memberi satu peluang kepada negara ini untuk mempercepatkan pembangunannya,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian di hadapan lebih 1,000 penyokong PKR sempena Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Cabang Shah Alam yang bertemakan “Pertahankan Shah Alam, Tawan Putrajaya” di Dewan Kompleks Belia Seksyen 7, di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dan Adun Bangi Dr Shafie Abu Bakar dan ADUN Sri Muda Suhaimi Shafiei.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mengingatkan barisan pimpinan Pakatan untuk menguatkan jentera dan bersiap sedia sebelum menghadapi gelombang PRU-13 yang dijangka berlangsung sedikit masa lagi.

Ini kerana tegasnya, kerajaan Umno-BN akan menggunakan apa sahaja cara untuk menawan semula negeri Selangor.

“Saya ingin berterima kasih kepada Dr Yaakob kerana menunjukkan kepada saya kepimpinan beliau yang dapat mengumpulkan begitu ramai penyokong untuk memastikan kemenangan di Shah Alam dapat dikekalkan pada PRU-13 nanti.

Kalau ini usaha yang dilakukan, saya pasti Pakatan Rakyat akan mengecapi kemenangan yang lebih besar berbanding PRU ke-12 pada tahun 2008,” katanya.

ends

Leave a Reply

Your email address will not be published.