Categories
SELANGOR

ADUN Seri Serdang Cetek Pengetahuan Tentang Hotel Bajet

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor tidak teragak untuk mengambil tindakan terhadap hotel bajet yang melanggar undang-undang, tetapi pada masa yang sama, pentabiran negeri faham yang hotel tersebut memenuhi permintaan pasaran.

Oleh itu Exco Selangor Ronnie Liu Tian Khiew berkata adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk menuduh hotel bajet adalah sarang maksiat.

“Tidak adil kepada pengusaha hotel bajet yang melakukan aktiviti sihat di negeri ini jika ADUN Seri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman menyalahkan kesemua hotel bajet menjalankan aktiviti maksiat,” kata Ronnie yang menyandang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Ronnie berkata demikian di luar Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi manyangkal dakwaan yang diutarakan Mohamad Satim di dalam DNS hari ini.

Katanya, trend hotel bajet ini berlaku di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Perak dan negeri-negeri lain.

“Beliau kena faham, bukan semua orang mampu mendapatkan perkhidmatan hotel mewah. Banyak lagi golongan yang kurang berkemampuan terpaksa menginap di hotel bajet termasuk pelancong.

“Maksiat juga berlaku di pangsapuri, rumah, hotel mewah dan kondominium. Jadi ianya tidak adil kepada pengusaha hotel bajet kerana ada juga pengusaha hotel bajet yang menjalankan aktiviti sihat,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sudah menyediakan garis panduan kepada semua pengusaha hotel bajet.

“Mereka kena mengikut syarat-syarat yang sudah ditetapkan jika tidak lesen mereka akan digantung atau ditarik balik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“PBT atau pihak polis boleh menahan mereka dan membawa ke mahkamah, jadi ini isu penguatkuasaan, tak kan Adun Seri Serdang tidak faham,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.