Categories
SELANGOR

Arnab Bagi Pemenang Pertandingan Melukis “Anak Selangorku”

SHAH ALAM 18 MAC : Kegembiraan jelas terpampar diwajah kanak-kanak ini ketika memenangi hadiah seekor arnab dan barang-barang kelengkapan sekolah dalam satu pertandingan melukis yang berlangsung hari ini.

“Anak Selangorku” Art Competition ini mempertandingkan tiga kategori mengikut umur dan disertai seramai 50 orang kanak-kanak sekitar Shah Alam dan Klang.

Program tersebut dianjurkan Pejabat Dun Kota Anggerik dan berlangsung di Canopy Club, Setia Eco Park, Shah Alam di sini.

Objektif program ini dilaksanakan bertujuan untuk memenuhi cuti sekolah yang sedang berlangsung dengan suatu program yang bermanfaat untuk kanak-kanak.

Penolong Penyelaras Program tersebut Ngian Yoke Mooi berkata program ini memberi manfaat kepada ibu-bapa kerana anak-anak mereka boleh dijaga sepanjang pertandingan berlangsung.

Pemenang bagi kategori lima hingga enam tahun ialah Shannon Chan, 6, bagi kategori tujuh hingga lapan tahun ialah Tan Shen Ming, 8, manakala Nor Balqis Mohammad, 9, memenangi bagi kategori sembilan hingga 12 tahun.

Ketika ditemui, Shen Ming berasa seronok kerana mendapat seekor arnab dan juga peralatan sekolah seperti bekas pensil, cat air dan beg sekolah.

Nor Balqis, yang ditemani kakaknya, berkata pertandingan ini menyeronokkan dan mengisi masa cuti sekolah yang terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

Sementara itu, Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakob Sapari dalam ucapan pembukaannya berkata ibu bapa merupakan pencorak masa depan anak-anak.

“Pendidikan adalah sangat penting untuk anak-anak. Oleh itu janganlah kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai ibu-bapa,” ujar Yaakob yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.