Categories
SELANGOR

Asrama YS Mampu Tempatkan 1,500 Pelajar

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan merobohkan asrama Yayasan Selangor (YS) di atas Asrama Tun Dr Ismail (ATDI) dan Asrama Toh Puan Norashikin (ATPN) adalah bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan dengan mengkomersial aset-aset sedia ada.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Adun Paya Jaras (BN), Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkata Kerajaan Negeri juga sedang dalam usaha menempatkan pelajar ke sekolah berasrama penuh di tanah YS di Bestari Jaya.

“Sekolah berasrama penuh itu terletak di sebelah Universiti Selangor (UNISEL) yang berpaya menempatkan lebih 1,500 pelajar. Ibu bapa boleh melihat perkembangan yang kita lakukan.

“Soal tidak prihatin dengan nasib pelajar tidak timbul.Perlu kita lihat bagaimana perancangan masa depan, setiap tahun kita menjemput mereka yang menjadi ahli ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi melihat perkembangan yang dilakukan oleh Yayasan Selangor (YS). Akaun YS juga dibentangkan dan diaudit serta perancangan masa depan untuk YS,” katanya.

Beliau berkata dalam kajian beberapa tahun lalu, Kerajaan Negeri melihat kesusahan pelajar berulang-alik dari asrama ke sekolah-sekolah bestari sekitar Kuala Lumpur yang mengambil masa beberapa jam.

“Kita bukan tidak efisyen,salah satu usaha yang kita lakukan, berjumpa dengan sekolah-sekolah dan menyewakan penempatan bukan turun naik bas setiap hari dalam keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.

Tambahnya, keputusan menempatkan pelajar ke kawasan luar bandar itu juga dilihat berdasarkan keputusan penilaian pelajar YS lebih baik contohnya di Sabak Bernam dan Kuala Kubu Bharu.

“Dengan wujudnya cadangan ini, penambahan pelajar akan dapat dilaksanakan berbanding dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menghadkan hanya lima pelajar kerana memberi peluang kepada pelajar bandar sahaja.

“Maka dengan itu, kita mempersoalkan apabila hanya 1,500 pelajar dibantu sedangkan kita patut tingkatkan dua kali ganda jumlah pelajar kerana peluang perlu diberikan kepada ramai pelajar yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya.

Khalid berkata bagi merealisasikan impian untuk meningkatkan jumlah pelajar yang perlu diberi sokongan dan kajian juga telah dilakukan menunjukkan Kerajaan Negeri perlu membina asrama sendiri.

Jelasnya, pembangunan yang akan dijalankan di atas tanah itu dirancang berasaskan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang dilakukan dalam jangka masa panjang iaitu dengan mengambil kira keuntungan berlipat ganda.

Sebelum ini, Tanah seluas 7.5 ekar yang menempatkan Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin akan dibangunkan untuk cadangan pembangunan bercampur (komersial, kediaman dan hotel) di lot 544 dan 545.

Pembangunan itu bertujuan untuk menjana sumber kewangan bagi pembangunan untuk projek jangka masa yang lebih terancang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.