Categories
NASIONAL

DAP: SPR-BN Guna Taktik kotor

SHAH ALAM 17 MAC : Kontroversi penukaran kawasan mengundi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ditukar tanpa pengetahuannya memberikan gambaran Pilihanraya Umum yang bakal hadir tidak lama lagi sebagai pilihanraya yang kotor dan tidak adil, ulas Setiausaha Publisiti DAP Janice Lee.

“Seorang Menteri Besar pun sewenang-wenangnya diperlakukan begini dengan alamat yang tidak pernah wujud dalam hidupnya.

“Jadi tidak mustahil perkara yang sama juga berlaku terhadap rakyat kebanyakan,” ujar Janice yang dihubungi melalui panggilan telefon pagi tadi.

Janice turut menggesa supaya isu seumpama ini diselesaikan sebelum Perdana Menteri membubarkan parlimen bagi menjamin perjalanan pilihanraya yang adil mengikut acuan sebenar domokrasi.

“Sekarang yang kita nampak dan dengar adalah salah satu kes sahaja yang terjadi kepada Menteri Besar.

“Tetapi kita tidak tahu di luar sana ada berapa banyak lagi kes sebegini yang pastinya mencabuli hak pengundi,” jelas Janice yang juga Adun Teratai.

Sehubungan itu, Janice menyeru semua pengundi untuk melakukan semakan dengan secepat mungkin untuk memastikan tiada pertukaran dibuat tanpa pengetahuan mereka.

“Mereka boleh menyemak melalui laman web Suruhanjaya Pilihanraya atau boleh juga menyemak melalui khidmat pesanan ringkas,” pesan Janice sambil menambah segala kerja jijik ini merupakan usaha kotor menggagalkan Pakatan Rakyat yang dilihat semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.