Categories
SELANGOR

Dasar Penswastaan Pusat punca Selangor Tidak Cukup Air

SHAH ALAM, 21 MAC : Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini menyaksikan pendedahan kerajaan Pakatan Rakyat berhubung komisen yang diberikan kepada syarikat konsensi penswastaan air di Selangor  melebihi 75 peratus yang disifatkan sebagai satu rompakan kepada rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penswastaan yang dilakukan kerajaan negeri sebelum ini tidak mengambil kira keupayaan syarikat konsesi yang berkebolehan sehingga mengakibatkan masalah air sering berlaku.

Beliau juga berkata, kos yang dikendalikan selepas penswastaan juga adalah berlipat ganda daripada apa yang dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sebelum ini.

“Saya ingin tahu rasionalnya mengapa dalam hal air masih tidak mencukupi di Selangor, tetapi kita masih terpaksa meminta negeri Pahang menjual air kepada kita? Mengapa perlu membuat lubang di bawah gunung supaya dapat disalurkan kepada Langat 2 untuk dibuat loji pembersihan dengan kos RM8 bilion, sedangkan setengah daripada wang itu boleh digunakan untuk membersihkan air sungai?

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan membohongi rakyat Selangor. Kerajaan sepatutnya memberi peluang kepada rakyat supaya pengurusan air diberikan kepada kerajaan negeri seperti yang termaktub dlm undang-undang yang diluluskan pada tahun 2006,” tegasnya.

Menurut Khalid Selangor merupakan negari yang menerima hujan hampir 200 hari setahun serta sering dilanda limpahan air dan banjir. Maka tidak ada sebab mengapa air tidak mencukupi. Mengapa air banjir ini tidak diurus bagi menampung air dimasa tiada hujan.” ujar beliau yang juga Adun Ijok

Sementara itu, ketika ditanya tentang halangan pembinaan Loji Langat 2, Abdul Khalid menegaskan kerajaan negeri tidak pernah menentang

mahupun berdolak-dalik mengenai projek tersebut, tetapi ia mesti dijadikan sebahagian daripada proses pengambilalihan industri air.

Beliau berkata, masalah bekalan air adalah masalah perjanjian dalam penswastaan yang perlu diselesaikan bagi mengelakkan rakyat Selangor terus menerus menanggung akibatnya.

“Siapa yang berdolak dalik? kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan? Kita tidak halang kelakukan itu, tetapi kita nyatakan kalau hendak buat, kita perlu lakukan ia sebagai sebahagian daripada penyusunan air Selangor. Pada Januari 2008, keputusan kabinet mengatakan sebahagian daripada penyusunan air untuk Selangor adalah termasuk dalam pemilikan program Langat 2.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan telah mengubah keputusan itu pada Mac 2008. Pada pendapat kita, kalau tidak berlaku penyusunan air, maknanya Langat 2 tidak perlu untuk kita,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menjelaskan, kerajaan negeri akan bekerja keras untuk memastikan rakyat Selangor mendapat bekalan air bersih.

Menurutnya, lebih 17 loji rawatan air yang dimiliki di negeri ini juga adalah mencukupi untuk digunakan sebagai air terawat.

“Kita akan memperkenalkan teknologi untuk menggunakan air dari takungan lombong jika perlu dengan mengaplikasikan teknik reverse osmosis. Selain itu, air laut juga boleh digunakan jika keadaan memerlukan. Kita juga akan membersihkan sungai supaya saliran air adalah mencukupi.

” Tetapi keadaan ini tidak lagi diperlukan ketika ini kerana sumber air masih mencukupi.” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.