Categories
SELANGOR

Harga Rumah Mampu Milik Kurang Dari RM100,000

SHAH ALAM, 29 MAC : Semua  Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri Selangor tidak akan dijual melebihi RM100,000, kata Iskandar Abdul Samad.

Jelasnya, polisi ditetapkan bagi membantu rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri sejajar dengan pendapatan yang diperolehi.

Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan berkata, jika harga rumah RM150,000 maka setelah ditolak bayaran deposit 10 peratus iaitu RM15,000 ini bermakna pinjaman yang perlu dipohon adalah RM135,000.

“Jika bayaran balik pinjaman ini adalah selama 20 tahun bermakna bayaran bulanan secara kasar adalah RM1,015 sebulan.

Oleh itu, gaji minima pemohon mestilah sekurang-kurangnya RM3,045 sebulan,” kata Iskandar semasa penggulungan di Sidang Dewan Negeri Selangor.

Implilkasi kepada situasi ini ialah mereka yang gaji kurang dari RM3,045 tidak akan dapat membeli RMM jika dijual dengan harga lebih dari RM100,000.

Iskandar menjelaskan “Kajian Rumah Menyeluruh Berkenaan Jenis Kediaman Mampu Milik Berdasarkan Pendapatan Isi Rumah Di Kawasan Lembah Klang” yang dilakukan oleh Unit Perundingan Universiti Malaya untuk kerajaan negeri tahun lepas menunjukkan harga RMM perlu dipelbagaikan.

“Perlu ada RMM yang berharga RM70,000, RM90,000, RM100,000, RM120,000 dan RM150,000.

“Walau bagaimanapun RMM Negeri Selangor tidak sepatutnya berharga sehingga RM300,000.00 sepertimana RMM Kerajaan Persekutuan yang dijenamakan sebagai PRISMA,” ujarnya.

Sementara itu, tambah Iskandar sebanyak 10 peratus RMM akan diperuntukkan untuk ibu bapa peserta-peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di mana penjualan RMM dikawal oleh kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

“Pemaju-pemaju yang membina RMM tidak boleh menjual RMM kepada sesiapa sahaja tetapi nama-nama pembeli mestilah diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Iskandar, peruntukan khas 10 peratus kepada ibu bapa peserta TAWAS bermakna golongan muda terutamanya ibu bapa muda akan mendapat peluang yang lebih untuk memiliki RMM.

“Ini bermakna jika pada satu projek itu terdapat 500 unit RKR maka 50 diperuntukkan untuk ibu bapa peserta TAWAS,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.