Categories
NASIONAL

Hukuman Ke Atas Imam Hoslan Tidak Wajar

PETALING JAYA, 8 MAC: Tindakan Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas bekas Imam, Hoslan Hussin atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakan lelaki itu yang melemparkan seliparnya ke arah panel hakim disifatkan tindakan yang tidak wajar.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata kes ini sewajarnya ditangani dengan keadilan yang berteraskan prinsip belas kasihan dan Mahkamah Persekutuan gagal melaksanakannya.

Tambahan lagi, Hoslan dinafikan hak membela diri. Beliau tidak diwakili peguam dan merasa sangat sedih dengan perbuatannya melontar kasut dalam mahkamah tempoh hari.

“Hoslan merupakan bapa kepada tujuh orang anak dan kes beliau ini telah tertangguh sejak 1999. Sewajarnya beliau dihukum dengan amaran keras atau denda.

“Pihak kehakiman seharusnya mempertahankan nama baik mereka berdasarkan teras moral dan bukan dengan memenjarakan rakyat.” ujarnya.

Katanya tindakan Hoslan membuktikan institusi kehakiman negara berada dalam keadaan membimbangkan dan institusi kehakiman bertanggungjawab ke atas perkara ini.

“Institusi kehakiman telah dicemari dengan campurtangan pentadbiran BN. Adalah menjadi hasrat Pakatan Rakyat untuk melindungi dan mempertahankan integirit dan kebebasan institusi kehakiman negara.” jelas Surendran

Hoslan yang mewakili dirinya sendiri dalam kes berkenaan berkata, beliau keliru dengan perjalanan kes tersebut “bermula daripada awal.”

Kes tersebut sepatutnya didengar di Mahkamah Syariah dan bukannya di Mahkamah Sivil, katanya lagi yang meminta prihatin mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.