Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Air: Selangor Akan Guna Kepakaran UK, Perancis

MARSEILE,PERANCIS,16 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan dua operator air antarabangsa, Suez Environment yang berpangkalan di Perancis dan Wessex Water dari United Kingdom untuk mendapatkan pandangan pengurusan air yang cekap sebagai persediaan Kerajaan Negeri mengambilalih industri air.

?Pertikaian rundingan untuk Kerajaan Negeri mengambilalih industri perkhidmatan air daripada syarikat konsesi seperti yang ditetapkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, tidak sepatutnya menghalang Kerajaan Negeri daripada membuat persediaan. Kami amat gembira apabila pakar-pakar ini sanggup berkongsi pengetahuan teknologi mereka,? kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid berkata, beliau gembira apabila dua syarikat air antarabangsa itu (yang ditemui secara berasingan) memberikan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dalam pengurusan air bagi memastikan model Kerajaan Negeri bukan saja cekap dan berkesan malah pada tarif munasabah.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa sebarang kerjasama dua pihak perlu melalui proses telus dan kebertanggungjawab bagi memastikan ia berbaloi dengan wang yang dibelanjakan (value for money).

Pada sesi perbincangan di Marseile, Perancis, dengan kumpulan Suez Environment yang diketuai Naib Presiden Eksekutif Kanan bagi Penyelidikan Penyelaras Air dan Pembangunan, Bernard Guirkinger, Abdul Khalid menyatakan kesukaran yang dihadapi Kerajaan Selangor untuk mengambil alih industri perkhidmatan air dari syarikat konsesi.

?Model penswastaan hari ini tidak membawa sebarang kebaikan kepada industri air yang kini sarat dengan pelbagai masalah termasuk sistem pengurusan dan perancangan air yang tidak holistik, struktur peraturan tidak berkesan, pengoperasian tidak berkesan dan kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.

?Ini berlaku apabila syarikat konsesi yang dipilih tidak mahir, tiada pengalaman malah tiada wang untuk melaksanakan kerja ini. Kes di Selangor bukan soal apa yang anda boleh lakukan tetapi siapa yang anda kenal,? tegas beliau.

Di London, Abdul Khalid bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Wessex, Colin Skellet dan Dave Elliot yang juga Pengarah Perancangan dan Pengurusan Aset.

“Model pembahagian yang dipratikkan di Selangor membuktikan bahawa industri perkhidmatan air kita tidak boleh dipisah-pisahkan dengan memberi bahagian yang lebih untung kepada syarikat swasta sedangkan pihak kerajaan terpaksa menanggung beban kerugian,” kata beliau.

Dalam lawatan ke London,beliau dibawa melawat ke ibu pejabat Wessex di Bath dan syarikat sekutunya, GenEco, yang merawat sisa kumbahan menggunakan teknologi terkini dan loji biogas di Bristol, loji kitar semula bahan buangan menjadi tenaga diperbaharui.

Pada Rabu lalu, Abdul Khalid membentangkan kertas kerja sempena Forum Air Sedunia di mana beliau memaklumkan kepada peserta forum bahawa penswastaan air di Malaysia telah gagal kerana dipergunakan oleh golongan rentier.

Leave a Reply

Your email address will not be published.