Categories
NASIONAL SELANGOR

Kampung, Tokong, Bakal Diroboh Untuk ‘Satu Lagi Projek BN’.

TANJUNG KARANG, 9 MAC: Gara-gara kerakusan sebuah agensi Kementerian di bawah tanggungjawab Datuk Seri Noh Omar, masyarakat Kampung Bagan Pasir Penambang bakal dihalau dari kediaman mereka sendiri untuk memberi jalan kepada sebuah jeti.

Turut bakal dirobohkan ialah Tokong Sei Ling yang terdapat di kampung terbabit bagi membolehkan kerja membina jalan masuk ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pasir Penambang.

Menurut ketua Kampung Bagan Pasir Penambang Lim Eng Wan, rata-rata penduduk mengutamakan kediaman berbanding pampasan wang tunai.

“Kita bukannya nak ganti rugi duit tetapi yang buat kami susah hati ialah kalau suatu hari nanti kena halau, tak ada rumah nak duduk.

“Kalau mereka bagi pampasan RM15 ribu nak buat apa? Bukan sahaja nak bina rumah tak cukup, nak buat jamban pun tak boleh.

“Orang kampung sini bukan orang kaya dan kebanyakkannya sudah tua-tua, nak buat pinjaman bank beli rumah, bank pun tak nak layan sebab tak layak,” beritahu beliau ketika ditemui TVSelangor hari ini.

Eng Wan berkata pada peringkat awal penempatan mereka di sini, ada pihak MCA yang memberi jaminan bahawa tanah tersebut bolehdiduduki.

Menurut Eng Wan, penduduk juga telah memperolehi Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Kami sudah tinggal di sini bukan dua, tiga tahun tetapi sudah berpuluh tahun dan dah ada TOL.

“Bila kita bayar TOL dan berjaya mengusahakan tanah selama tiga tahun patutnya geran dah boleh dikeluarkan.

“Tiba-tiba saya dapat tahu geran dah dikeluarkan kepada pihak lain iaitu sebuah syarikat,” katanya lagi.

Bimbang dengan nasib penduduk kampung tersebut, Eng Wan berharap agar Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim campur tangan bagi membela nasib penduduk.

Menurut Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri, status jeti tersebut diragui kerana ia tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Mohd Yahya melahirkan kebimbangan sekiranya bangunan itu tidak mendapat kelulusan, ia tidak akan dapat sijil layak diduduki.

Leave a Reply

Your email address will not be published.