Kerajaan Negeri Janji Utamakan Kebajikan Rakyat

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berjanji akan terus mengutamakan kebajikan rakyat negeri ini sekiranya sekali lagi diberi mandat untuk menerajui pentadbiran negeri ini.

Demikian menurut Exco Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, YB Dr Yaakob Sapari hari ini ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bayaran Manfaat Peringkat Kedua untuk waris-waris peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Kami wakil rakyat Pakatan Rakyat berjanji sekiranya kita diberi kepercayaan untuk mengurus tadbir kerajaan Selangor sekali lagi hasil negeri ini kita nak kongsikan bersama rakyat.

“MB, exco-exco dan YB semua hanya urus sahaja harta tuan puan sekalian dan kami janji kami tak akan curi duit itu,” katanya.

“Hasil perbelanjaan berhemah MB dan tak menyeleweng membolehkan wang rezab kerajaan negeri mencatatkan peningkatan mendadak semenjak Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini semenjak 2008.

“Dahulu semasa kita mula-mula ambil alih rezab kerajaan negeri cuma ada RM400 juta tetapi sekarang dah ada RM1.6 bilion.

“Jadi saya mintak berilah kami sekali lagi untuk mengurus tadbir Negeri Selangor ini dalam pilihan raya akan datang nanti,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik.

Sementara itu seorang peserta program Skim Mesra Usia Emas, Hussain Ali, 53 tahun ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang ada hari ini

“Kerajaan sekarang pelbagai kemudahan saya dapat, bagus, tak macam kerajaan dahulu.

“Masa Umno dahulu, tak ada pun datang jengah atau beri apa-apa bantuan, tetapi kerajaan sekarang ini walaupun saya tak mohon apa-apa, YB yang datang melawat dan hulurkan sumbangan.

“Macam-macam juga saya dapat macam beras, barang keperluan rumah dan lain-lain lagi dan yang bagusnya saya tak mohon pun tetapi wakil rakyat yang turun pandang cari orang yang boleh dibantu.

“Dalam Program SMUE ini, jumlah keseluruhan yang saya dapat RM2500 apabila ayah saya meninggal dunia pada Hari Raya Haji tahun lepas.

“Jadi dengan program seperti ini dapatlah meringankan beban saya atau waris simati dalam menganggung kos pengebumian,” kata beliau yang mengidap penyakit barah usus.

Dalam Majlis Penyampaian Bayaran Manfaat Peringkat Kedua yang diadakan di Lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang ini seramai 52 peserta menerima sumbangan melalui program SMUE ini.

Sehingga Febuari 2012 seramai 180,785 warga emas telah mendaftar dalam program bagi merealisasikan agenda kerajaan negeri untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.