Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Baiki Prasarana di Hulu Langat dan Lembah Jaya

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana bagi membaiki prasarana seperti jambatan dan jalanraya yang rosak di dalam banjir yang melanda beberapa kawasan di Hulu Langat dan Lembah Jaya kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerja-kerja baikpulih tersebut dijangka mengambil masa sebulan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat melalui peruntukan geran Selangorku .

Beliau berkata, usaha membaikpulih itu akan dilakukan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang mempunyai kepakaran dari segi pembinaan dan khidmat teknikal.

“Kerajaan negeri akan meminta syarikat GLC yang memiliki kepakaran dari segi pembinaan untuk memberi khidmat teknikal dengan melukis pelan dan sebagainya bagi urusan baikpulih prasarana di kawasan itu selain turut meminta kerjasama daripada penduduk setempat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau pembinaan tersebut.

“Saya percaya dengan cara ini, semua pihak akan dapat memahami masalah hasil daripada perancangan bandar dan dengan itu masyarakat bersedia menerima cadangan supaya rizab sungai dapat diusahakan untuk mengelakkan banjir,” tegasnya.

Selain itu, menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri juga akan membina kolam takungan sebagai satu cara untuk mengurangkan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu.

Beliau berkata, projek tersebut akan dikendalikan oleh dua Exco Selangor iaitu Rodziah Ismail dan Iskandar Abdul Samad.

“Kita akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa banjir dan telah meningkatkan wang tambahan supaya setiap keluarga menerima bantuan sejumlah RM1,000 sebagai kegunaan untuk menghadapi keadaan yang sukar ini,” katanya.

Dalam kejadian banjir yang berlaku pada 8 Mac lalu, lebih 700 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat selepas hujan lebat yang berlarutan selama empat jam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.