Categories
NASIONAL

Kes MB Membuktikan Hak Pengundi Sememangnya Tidak Terjamin

SHAH ALAM 16 MAC : Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukar kawasan mengundi tanpa pengetahuan pengundi berkenaan merupakan satu tindakan yang kotor dan bertentangan dengan nilai, etika dan prinsip demokrasi.

Pemimpin Pakatan Rakyat Selangor juga berkata tindakan badan itu yang menukar tempat mengundi Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa pengetahuan beliau memberikan gambaran bahawa pilihanraya umum yang akan datang bakal menjadi pilihanraya yang kotor dan tidak adil.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman berkata isu terbaru yang melibatkan Abdul Khalid ini membuktikan segala kritikan terhadap kredibiliti SPR ada benarnya.

?Seharusnya SPR berada di bawah Parlimen supaya kita boleh pantau apa saja tindakannya.

“Tetapi sayangnya di Malaysia, SPR berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mana memaksa mereka untuk akur akan kehendak pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,” ulas Dr. Rani yang juga Adun Meru, apabila dihubungi TVSelangor.

Abdul Rani berkata taktik ini pernah dilakukan di Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya yang lalu bagi menumbang Kerajaan Negeri pimpinan Pas.

Manakala Setiausaha Publisiti DAP Selangor Janice Lee berkata jika seorang Menteri Besar sewenang-wenangnya diperlakukan begini dengan alamat yang tidak pernah wujud dalam hidupnya, maka tiada pengundi yang haknya terjamin.

“Jadi tidak mustahil perkara yang sama juga berlaku terhadap rakyat kebanyakan,” ujar Janice ketika dihubungi.

“Sekarang yang kita nampak dan dengar adalah salah satu kes sahaja yang terjadi kepada Menteri Besar. Tetapi kita tidak tahu di luar sana ada berapa banyak lagi kes sebegini yang pastinya mencabuli hak pengundi,” jelas Janice yang juga Adun Teratai.

Sehubungan itu, Janice menyeru semua pengundi untuk melakukan semakan dengan secepat mungkin untuk memastikan tiada pertukaran dibuat tanpa pengetahuan mereka.

“Mereka boleh menyemak melalui laman web Suruhanjaya Pilihanraya atau boleh juga menyemak melalui khidmat pesanan ringkas,” pesan Janice.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.