Categories
SELANGOR

MB: PKNS Perlu Keluar Dari Zon Selesa

SHAH ALAM 27 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyeru Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk melakukan anjakan paradigma dan keluar daripada zon selesa sebagai pentadbir sahaja selama ini.

“PKNS sudah berusia lebih daripada 40 tahun, hampir 50 tahun lagi. Tetapi sehingga kini mereka hanya bertindak sebagai perancang sedangkan mereka mampu dengan segala keupayaan untuk melakukan segala kerja sendiri seterusnya mencapai keuntungan yang lebih besar.

“PKNS boleh mencontohi syarikat yang sebaya dengannya daripada Singapura iaitu CapitaLand yang lebih kurang sebaya dengan PKNS tetapi sudah mencapai satu tahap yang membanggakan di rantau ini kerana mereka bertindak bukan sekadar perancang tetapi juga penggerak projek-projek mereka sendiri,” jelas Khalid.

Beliau memberi respon berhubung soalan yang diajukan Adun Dusun Tua, Ismail Sani berkenaan Kompleks Sukan PKNS yang dijual untuk laluan projek komersial.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menggariskan polisi baru gerak kerja PKNS untuk bertindak dengan lebih komprehensif dan bercita-cita tinggi mencapai satu tahap yang lebih cemerlang.

“Jadi, untuk projek yang akan datang ini dengan Bayu Melati (Sdn Bhd), saya harap PKNS lakukan semua kerja dan jangan bertindak sebagai perantara sahaja.

“Kali ini saya akan bertegas PKNS perlu mengamalan konsep atau polisi baru dengan melakukan semua kerja, tidak perlu sub-kontraktor dan lupakanlah polisi lama yang mana PKNS hanya menikmati 30 peratus keuntungan sahaja,” sambung beliau lagi.

Sementara itu, untuk projek pembangunan di atas tapak Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Abdul Khalid berkata perancangan PKNS tersebut adalah selaras dengan keperluan semasa badan itu.

“Ini adalah biasa namun ianya perlulah sesuai dengan keadaan dan boleh dibincangkan bersama penduduk kerana perkara ini bukan sahaja membawa kebaikan kepada pihak pemaju tetapi juga rakyat.

“Tetapi syarat utama sesuatu pembangunan itu mestilah dilakukan dengan teliti, terancang dan professional,” kata Abdul Khalid.

Projek pembangunan komersial usahasama antara PKNS dengan Bayu Melati Sdn. Bhd ini dikatakan bernilai RM1.62 billion dan bakal mendirikan sebuah pangsapuri, satu blok pejabat Soho, sebuah kompleks sukan, dua blok menara pejabat, satu pusat membeli-belah, sebuah hotel, sebuah pusat pertunjukan seni dan tempat meletak kereta.

Leave a Reply

Your email address will not be published.